RHB Research mula liputan ke atas Cnergenz, saran 'beli' disokong pertumbuhan pantas hingga FY27 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research mula liputan ke atas Cnergenz, saran 'beli' disokong pertumbuhan pantas hingga FY27

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 DisRHB Research memulakan liputan ke atas Cnergenz Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) 55 sen, yang mewakili potensi kenaikan saham kumpulan itu sekitar 25%.


Menurut firma penyelidikan tersebut, penilaian positif berkenaan didorong oleh jangkaan titik perubahan pendapatan serta trajektori pertumbuhan yang lebih pantas bagi tempoh FY26 hingga FY27.


Katanya, syarikat itu dinilai yang masih menarik pada 17.5 kali harga kepada pendapatan (P/E) FY26 mencerminkan asas pendapatan rendah pada FY25, sebelum berlaku lonjakan pertumbuhan lebih besar.


"Ini disokong kitaran peningkatan perbelanjaan modal (capex) sektor elektrik dan elektronik (E&E), pengembangan serantau, serta peningkatan sumbangan segmen pembuatan pintar," kata RHB Research.


Tambahnya, kitaran capex Cnergenz untuk E&E dijangka terus kukuh apabila peningkatan perbelanjaan peralatan semikonduktor di pasaran antarabangsa berkembang luas kepada segmen produk 'back-end'.


Jualan peralatan ujian diunjurkan meningkat 12% tahun ke tahun (YoY) pada 2026 dan 7.1% pada 2027, dipacu oleh kerumitan peranti, pembungkusan termaju serta keperluan prestasi lebih tinggi.


Ia kata RHB Research, terutama bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan memori jalur lebar tinggi (HBM), dengan syarikat tersebut berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan trend pantas itu.


"Cnergenz turut disokong oleh pengukuhan jejak di ASEAN susulan pengambilalihan ITW Electronics Assembly Equipment, serta buku tempahan terkumpul mencecah sekitar RM40 juta," kata firma itu.


Segmen rumusan pembuatan pintar dijangka menjadi pemacu utama pendapatan bagi FY26 hingga FY27, apabila ia beralih daripada integrasi sistem tradisional kepada penggunaan dua model tertentu.


Ini meliputi model bahasa sempit (NLM) dan model bahasa kecil (SLM) yang dibina khas meningkatkan kecekapan automasi, selain kehadiran kukuh di ASEAN turut membolehkan syarikat mendapat manfaat.


Perkembangan positif itu kata RHB Research, daripada peralihan rantaian bekalan China+1, dengan pemain pembuatan elektronik utama kembali merancang capex di Pulau Pinang, Thailand dan Vietnam.


"Kami menganggarkan buku tender segmen ini melebihi RM100 juta, dengan kadar penukaran 20% hingga 30%, berpotensi menjana kepada pendapatan separuh kedua 2026 pada margin dua digit," jelasnya.


Dalam masa sama, Cnergenz turut mengembangkan model perniagaan kepada segmen ODM/OEM yang lebih berteraskan teknologi, dengan sasaran campuran hasil sebanyak 50% dalam tempoh jangka panjang.


Ini termasuk kerjasama dengan pengeluar peralatan terkemuka dari Amerika Syarikat (AS) dan Jerman, khususnya rumusan ujian litar (ICT) modul pelayan AI serta sistem pematerian modular elektronik.


Sumbangan awal daripada inisiatif ini kata RHB Research, dijangka bermula pada 4Q25, sebelum meningkat dengan lebih ketara pada FY26, di sebalik risiko persaingan yang sengit. - DagangNews.com