KUALA LUMPUR 14 April – Kebimbangan terhadap isu lambakan bekalan secara berterusan dalam industri sarung tangan global mendorong RHB Research menurunkan penarafan Hartalega Holdings Berhad.
Justeru firma penyelidikan tersebut mengubah saranannya kepada 'jual' daripada 'neutral' sebelum ini, dengan turut menilai pengembangan margin kumpulan berkenaan yang disifatkan sebagai tidak mampan.
"Kami menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.01 berbanding 82 sen, namun menegaskan ia masih mencerminkan potensi penurunan sekitar 19% daripada paras semasa," jelasnya dalam nota analisis.
Situasi itu ujar RHB Research, berikutan penilaian yang dianggap terlalu tinggi berbanding asas Hartalega, dengan kenaikan harga saham baru-baru ini dilihat mendahului realiti operasi sebenar.
Sementara faktor geopolitik semasa akibat ketegangan di rantau Timur Tengah pula tambah firma berkenaan, hanya bersifat sementara dan tidak mengubah isu struktur utama industri sarung tangan.
Sebaliknya, ia berpandangan kedudukan sektor sarung tangan terus berdepan dengan cabaran lebihan bekalan di pasaran global, apabila pengeluar dari China kekal sebagai penentu harga jualan semasa.
“Walaupun Hartalega berdepan risiko gangguan bekalan bahan mentah, kenaikan harga jualan purata (ASP) pula adalah amat terhad kerana tekanan kos daripada para pengeluar China,” kata RHB Research.

Situasi kali ini jelas firma penyelidikan tersebut, mewujudkan tekanan dua hala kepada pengeluar tempatan, iaitu kekangan kos bahan mentah dari luar negara dan had kenaikan harga produk itu sendiri.
Sehubungan itu, ia menjelaskan sebarang peningkatan margin dalam jangka pendek berkemungkinan hanya bersifat sementara, disebabkan kesan kelewatan pelarasan kos input seperti tenaga elektrik dan gas.
Hartalega kata RHB Research, mungkin menikmati margin lebih baik buat sementara waktu, tetapi kos itu dijangka naik semula dalam tempoh berikutnya, dan mengehadkan pertumbuhan margin berterusan.
"Bagaimanapun kami menaikkan unjuran pendapatan kumpulan ini bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 2% hingga 62% susulan pelarasan andaian harga jualan, kos dan kadar pertukaran," katanya.
Ia namun menegaskan risiko penurunan adalah kekal tinggi, termasuk faktor kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding nilai ringgit, peningkatan persaingan, dan penurunan harga sarung tangan.
Selain itu tambah RHB Research, isu kadar penggunaan kapasiti yang lebih rendah daripada jangkaan Hartalega sendiri turut diramal boleh memberi kesan dengan prospek sektor tersebut masih mencabar.
Secara keseluruhan, firma itu berpandangan prospek ketika ini lebih cenderung ke arah penurunan, sekali gus menyokong keputusan menurunkan penarafan kumpulan tersebut. - DagangNews.com








