RHB Research: Kehilangan pelanggan sektor makanan dan minuman punca hasil Tasco susut 10% bagi FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research: Kehilangan pelanggan sektor makanan dan minuman punca hasil Tasco susut 10% bagi FY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 Mei — Kehilangan ramai pelanggan dalam sektor makanan dan minuman (F&B) menekan prestasi Tasco Berhad apabila hasil FY26 merosot 10% tahun ke tahun (YoY) kepada RM910.5 juta.


Menurut RHB Research, kelemahan tersebut mengakibatkan sumbangan yang lebih rendah kepada segmen rantaian bekalan sejuk (CSC) susulan penyusutan daripada pelanggan utama dalam sektor berkenaan.


Firma penyelidikan tersebut berkata, pendapatan teras FY26 kekal mendatar pada RM39.8 juta, hanya mencapai 90% daripada jangkaannya, yang mencerminkan tekanan daripada kehilangan pelanggan F&B.


"Kami namun mengekalkan saranan 'beli' ke atas Tasco dengan harga sasaran (TP) 61 sen berbanding 70 sen sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan 42% serta hasil dividen 3% bagi FY27," jelasnya.


Prestasi suku keempat FY26 kata RHB Research, menunjukkan pemulihan apabila keuntungan bersih naik 59.5% YoY kepada RM9.4 juta, disokong margin kukuh segmen penghantaran udara dan logistik kontrak.


Melangkah ke hadapan, pertumbuhan syarikat dijangka dipacu oleh pengembangan kapasiti gudang dengan dua projek utama di Shah Alam dan Northport yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun ini.

 

Tasco_DagangNews


Kedua-dua gudang ini ujar firma penyelidikan tersebut, dijangka berpotensi mencapai titik pulang modal hanya dalam tempoh enam bulan dan mula menyumbang kepada pendapatan pada separuh kedua FY27.


"Selain itu, kemasukan pelanggan baharu F&B serta operasi hab semikonduktor di Pulau Pinang yang dijangka bermula Julai 2026 dijangka membantu memulihkan segmen CSC Tasco," kata RHB Research.


Pada masa sama, ia dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan kadar barangan global susulan konflik Timur Tengah, apabila naik 18% bagi laluan utama dan hingga 10% bagi laluan intra-Asia.


Bagaimanapun, firma penyelidikan berkenaan turut menyemak turun unjuran pendapatan FY27 hingga FY29 antara 8.4% hingga 10.5% berikutan jangkaan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen CSC.


Tambah RHB Research, risiko utama Tasco termasuk kehilangan pelanggan utama, tekanan margin, penurunan kadar barangan, kelembapan ekonomi global, serta kadar cukai efektif lebih tinggi. - DagangNews.com