KUALA LUMPUR 20 Jun — RHB Research mula bertindak menghentikan liputan penyelidikannya ke atas saham FGV Holdings Berhad dengan memberi alasan langkah pengambilalihan dilaksanakan semakin dekat.
Firma penyelidikan tersebut berkata, penamatan itu juga memberi ruang kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dapat memuktamadkan urusan pemilikan terhadap kumpulan berkenaan.
Pada masa sama, ia mengesyorkan pelabur yang memiliki kepentingan supaya menerima pelan tawaran tanpa syarat secara sukarela itu memandangkan prospek jangka pendek FGV masih kekal berhati-hati.
"Kami percaya tawaran pengambilalihan FGV oleh Felda adalah amat adil dan selaras dengan penilaian sejarah kumpulan terutama potensi perniagaan masa depan," kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Selain itu tambah firma berkenaan, prospek pendapatan kumpulan juga tidak menentu disebabkan oleh risiko geopolitik dan diburukkan persekitaran harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih lemah.
Ia turut memberi amaran, pelaksanaan peluasan Cukai Jualan & Perkhidmatan (SST) mungkin memberi kesan negatif kepada FGV, kerana gula mentah dan minyak isi rong sawit akan dikenakan cukai itu.
Bagaimanapun RHB Research percaya, FGV mungkin meminta kerajaan mengecualikan SST ke atas gula mentah, kerana gula diproses adalah item di bawah kawalan harga serta kos tidak boleh dipindahkan.
"Pada masa sama, kami kecewa dengan kerugian ditanggung melalui bahagian hiliran dan pengilangan buah tandan segar serta penguncupan keuntungan yang lebih lemah pada segmen gula," tambahnya.
Kesemua faktor berkenaan kata RHB Research, dikhuatiri memberi kesan buruk amat besar kepada hasil FGV dalam jangka panjang sehingga ia mengekalkan saranan 'neutral' pada liputannya sebelum ini.
Berdasarkan situasi semasa itu, ia namun menaikkan harga sasaran kepada RM1.30 daripada RM1.20 menjelang sesi terakhir dagangan FGV di Bursa Malaysia sebelum diambil alih Felda. - DagangNews.com








