RHB Research: Had tuntutan polisi insurans baharu ancam pendapatan sektor penjagaan kesihatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research: Had tuntutan polisi insurans baharu ancam pendapatan sektor penjagaan kesihatan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 Mei – Sektor penjagaan kesihatan berdepan risiko apabila langkah kerajaan mengekang inflasi perubatan dijangka menamatkan pertumbuhan hasil tanpa had bagi operator hospital swasta.


RHB Research berkata, arahan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung had tuntutan insurans kesihatan memberi isyarat jelas yang industri itu sedang bergerak ke arah sistem lebih telus dan mampan.


Menurut firma penyelidikan itu, walaupun perubahan ini dijangka mengehadkan pendapatan, ia pada masa sama memberi kelebihan kepada pengendali hospital yang memiliki kecekapan kos lebih baik.


“Ini mungkin menandakan berakhir ‘era emas’ hospital swasta yang sebelum ini menikmati pertumbuhan hasil tinggi dipacu tuntutan perubatan dan perkhidmatan kurang dikawal selia,” katanya dalam nota.


RHB Research namun mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor itu dengan tiga pilihan utama iaitu KPJ Healthcare, LAC Med dan Duopharma Biotech yang masing-masing diberikan saranan 'beli'.


Firma itu menambah, kajian Bank Dunia mendapati 67% peningkatan kos perubatan berpunca daripada pertambahan penggunaan perkhidmatan kesihatan, manakala hanya 26% yang disebabkan kenaikan harga.


Selain itu ujarnya, laporan tersebut turut membangkitkan isu kemasukan pesakit ke wad hospital dengan kos mahal, padahal sebenarnya kes boleh dirawat secara pesakit luar atau di klinik primer.


"Lebih membimbangkan, komponen perkhidmatan hospital yang menyumbang 70% bil rawatan pesakit dalam dikenal pasti terdedah risiko amalan memaksimumkan pendapatan hospital," kata RHB Research.

 

sektor penjagaan kesihatan_DagangNews


Dalam perkembangan berkaitan, semua pengendali insurans dan takaful diarah menghentikan penawaran produk perlindungan kesihatan dengan had tuntutan tahunan terlalu tinggi berkuat kuasa 1 Mei 2026.


Langkah itu jelas firma penyelidikan berkenaan, dilihat sebahagian daripada strategi BNM bagi membendung kenaikan premium insurans dan kos rawatan swasta yang makin meningkat kebelakangan ini.


Ujar RHB Research, walaupun data BNM menunjukkan perlindungan RM150,000 cukup untuk 99% tuntutan, baki 1% kes berisiko tinggi itu menyumbang secara tidak seimbang kepada margin industri hospital.


“Pelaksanaan had tuntutan dijangka mengehadkan pertumbuhan hasil bagi setiap pesakit dan memaksa pengendali hospital untuk memberi fokus kepada disiplin kos serta kecekapan operasi,” tambahnya.


Dalam pada itu, KPJ Healthcare kekal sebagai pilihan utama firma berkenaan susulan kedudukannya yang lebih defensif berikutan kebergantungan lebih rendah kepada aktiviti pelancongan perubatan.


Kata RHB Research, hanya 6% hasilnya disumbangkan oleh pesakit antarabangsa berbanding 14% hingga 15% bagi pesaing lain, sekali gus menjadikannya lebih tertumpu kepada permintaan domestik.


Selain itu, fokus KPJ Healthcare terhadap rawatan penjagaan sekunder membolehkannya meraih manfaat daripada limpahan permintaan segmen berpendapatan M40 yang lebih sensitif terhadap kos rawatan.


“Walaupun hasil bagi setiap pesakit sekitar 40% lebih rendah berbanding pesaing, margin syarikat hanya ketinggalan sekitar dua mata peratusan, mencerminkan struktur kos lebih cekap,” ujarnya.


RHB Research turut mengingatkan antara risiko utama sektor itu termasuk peningkatan kos operasi, pertumbuhan perlahan jumlah pesakit dan perubahan dasar kawal selia yang lebih agresif. - DagangNews.com