KUALA LUMPUR 25 Jun — RHB Bank Berhad melantik Vashta Mahendran sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan, berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Beliau menggantikan David Chong, yang akan meninggalkan kumpulan bagi meneroka peluang baharu setelah tamat tempoh perkhidmatan pada 30 Jun 2025.
Vashta menyertai RHB pada 2015 bermula dengan dilantik sebagai Ketua Perbendaharaan Kumpulan untuk Pengurusan Perniagaan Strategik.
Peranannya diperluaskan pada 2021 apabila terlibat Perbankan Borong Kumpulan, sebelum menerajui inisiatif transformasi kumpulan pada 2022.
"Vashta memegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan pengkhususan Perakaunan dan Kewangan, dari Universiti Manchester, Britain," kata RHB dalam kenyataan.
Beliau merupakan Akauntan Bertauliah dan pemegang sijil berkelayakan Pengurus Risiko Kewangan daripada Persatuan Profesional Risiko Global.
Katanya, dengan lebih tiga dekad pengalaman sektor kewangan, beliau membawa pengetahuan institusi dan kepimpinan kukuh kepada peranan baharunya.
Sebelum itu, Vashta memulakan kerjaya di Arthur Andersen & Co, dan kemudian memegang pelbagai peranan strategik di beberapa institusi kewangan ternama.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad merakamkan penghargaan atas sumbangan David.
"Ketika kami memulakan fasa seterusnya dalam perjalanan pertumbuhan, kepimpinan Vashta diharap memacu transformasi operasi kumpulan," katanya. - DagangNews.com








