RHB kekalkan saranan `Beli' ke atas Inta Bina walaupun berisiko gagal raih kontrak baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB kekalkan saranan `Beli' ke atas Inta Bina walaupun berisiko gagal raih kontrak baharu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Okt – Risiko kegagalan Inta Bina Group Berhad memperoleh kontrak baharu secara berterusan dikenal pasti boleh menjejaskan momentum pertumbuhan syarikat, menurut RHB Research.


Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut kekal positif terhadap prospek jangka sederhana syarikat pembinaan itu dan memulakan liputan pertama ke atas kumpulan berkenaan dengan saranan 'beli'.


Ia turut meletakkan harga sasaran (TP) 81 sen sesaham, bersamaan dengan potensi kenaikan sebanyak 93% daripada paras semasa, serta unjuran hasil dividen sekitar 5% bagi tahun kewangan 2026.


"Kami menilai segmen pembinaan syarikat ini pada 11.5 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) dan julat 10 hingga 14 kali bagi kontraktor modal kecil lain di bawah liputan," kata RHB Research.


Segmen pembangunan hartanah Inta Bina pula katanya, diunjur pada diskaun 50% kepada Nilai Aset Bersih Diselaraskan (RNAV) dengan purata rekod lima tahun Indeks Pembinaan Bursa Malaysia (BMCI).


Firma itu menambah, meskipun hanya sebagai kontraktor kelas G7, syarikat ini sudah memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM865 juta setakat FY25 dan menghampiri sasaran dalaman RM1.1 bilion.


Antara pelanggan utamanya jelas RHB Research dalam nota kajiannya itu, termasuk pemaju ternama tempatan seperti Eco World Development Group Berhad (ECW) dan Sime Darby Property Berhad (SDPR).


"Kami menyasarkan penambahan buku tempahan baharu sebanyak RM1.1 bilion bagi FY26, berdasarkan kadar kejayaan bidaan sekitar 25% daripada buku tender RM4.5 bilion," kata firma penyelidikan itu.


Jelasnya lagi, perkembangan itu disokong permintaan kukuh dalam pasaran kediaman di Kuala Lumpur dan Selangor, yang meningkat 7% dan 9% suku ke suku pada 2Q2, sekali gus mendorong prospek ini.


Inta Bina kata RHB Research, mengukuh kedudukan dalam sektor pembangunan melalui projek pertama Senuri Residence dan nilai pembangunan kasar (GDV) RM205 juta) yang mencatat 100% kadar ambilan.


Syarikat berkenaan juga tambahnya, ada merancang untuk melancarkan dua lagi projek baharu di Bukit Jelutong dan Glenmarie dengan jumlah GDV keseluruhan sekitar RM500 juta dalam tempoh dua tahun.


"Selain itu, ia menceburi pasaran lif dan eskalator di bawah jenama Canny, langkah strategik yang bukan sahaja memanfaatkan permintaan pembinaan, malah menyediakan pendapatan berulang," jelasnya.


RHB Research mengunjurkan pertumbuhan pendapatan tahunan terkumpul (CAGR) 16.9% bagi FY24 hingga FY27, disokong buku tempahan terkumpul sekitar RM1.9 bilion dengan tiga kali pendapatan FY24.


Di samping itu, ia menjangka potensi pemangkin melalui kemungkinan Inta Bina memperoleh banyak projek di Johor, susulan perkembangan pelanggan jangka panjang seperti ECW dan UEM Sunrise Berhad.


Dari aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), syarikat ini melabur RM84.8 juta dalam bahan binaan hijau serta mengurangkan sisa pembinaan melalui acuan aluminium boleh guna semula.


"Justeru, kami memberi premium ESG 2%, menjadikan skor keseluruhan Inta Bina pada 3.1, yang dimasukkan dalam pengiraan TP dengan saham kekal menarik dibeli," kata RHB Research. - DagangNews.com