RGT-3 Lumut jadi pemangkin masa depan tenaga negara, TNB perluas peranan dalam rantaian gas - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RGT-3 Lumut jadi pemangkin masa depan tenaga negara, TNB perluas peranan dalam rantaian gas - CGSI

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Jun – Tenaga Nasional Bhd (TNB) berada pada landasan pertumbuhan jangka panjang yang lebih kukuh selepas langkah strategik syarikat itu bekerjasama dengan Petronas Gas dalam pembangunan Terminal Regasifikasi Ketiga (RGT-3) di Lumut, Perak, menurut CGS International.

 

Firma penyelidikan itu menyifatkan kerjasama pembangunan RGT-3 sebagai pemangkin penting yang akan memperkukuh keselamatan bekalan bahan api bagi penjanaan elektrik berasaskan gas di Malaysia.

 

Menurut CGSI, RGT-3 bukan sekadar projek infrastruktur tenaga, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin utama kepada pengembangan kapasiti penjanaan elektrik negara pada masa hadapan.

 

“Projek ini adalah penting memandangkan pengeluaran gas domestik Malaysia yang semakin menurun, sekali gus meningkatkan kebergantungan terhadap import LNG sebagai sumber tenaga utama,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Di bawah rangka kerja Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI 2.0), struktur industri elektrik negara juga dijangka berubah dengan lebih banyak loji baharu beralih kepada pengaturan bekalan bahan api sendiri, menjadikan akses kepada infrastruktur regasifikasi semakin kritikal.

 

Projek RGT-3 akan dibangunkan menggunakan model unit penyimpanan dan regasifikasi terapung (FSRU), iaitu yang pertama seumpamanya di Malaysia yang boleh memproses sehingga 500 juta kaki padu gas sehari (mmscfd), mencukupi untuk menyokong penjanaan elektrik berasaskan gas sebanyak kira-kira 3.5 gigawatt (GW). 

 

Kapasiti ini membolehkan projek tersebut menyokong pembangunan loji janakuasa kitaran gabungan gas (CCGT) baharu termasuk projek 1.4GW di Paka serta cadangan loji 2.1GW di Kapar.

 

ARTIKEL BERKAITAN: TNB, PETRONAS Gas tubuh SPV bangunkan terminal LNG terapung RGT-3 di Lumut

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “Tambah” ke atas TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM16.60, mencerminkan keyakinan terhadap prospek sektor utiliti negara itu.

 

Walaupun projek RGT-3 dijangka mewujudkan aliran pendapatan baharu kepada TNB, CGSI menjangkakan sumbangan kewangan langsungnya adalah kecil berbanding keseluruhan pendapatan kumpulan.

 

Namun begitu, manfaat utama projek ini adalah dari segi pengurangan risiko bekalan bahan api serta sokongan kepada pengembangan kapasiti penjanaan elektrik masa hadapan.

 

Secara keseluruhan, CGSI melihat TNB sebagai penerima manfaat utama dalam kitaran pelaburan baharu sektor tenaga negara, didorong oleh peningkatan permintaan elektrik termasuk daripada pusat data dan pembangunan industri berintensif tenaga.

 

Firma itu berkata risiko utama kepada prospek TNB termasuk kenaikan kos operasi, turun naik harga bahan api serta perubahan dasar kawal selia.

 

Bagaimanapun, pemangkin utama peningkatan semula penilaian saham TNB termasuk pelaksanaan projek baharu secara lebih pantas, kejayaan bidaan loji jana kuasa gas dan tenaga boleh diperbaharui serta pemulihan perbelanjaan modal dalam sektor utiliti.

 

Pada masa ini, CGSI kekal positif terhadap TNB berikutan syarikat itu berada di pusat transformasi tenaga Malaysia yang sedang berkembang, sekali gus menyokong prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan tersebut. - DagangNews.com