KUALA LUMPUR 5 Jun - Minggu Interaktif Geosains atau Geoscience Interactive Week 2026 (GIW 2026) kembali menjadi platform utama dalam usaha mencungkil bakat dan melahirkan generasi pemimpin masa depan dalam bidang geosains, dengan menampilkan pelbagai pengisian akademik serta perkongsian industri selama dua hari di Jabatan Geologi, Universiti Malaya.
Bertemakan “Unearth Your Curiosity”, program anjuran Universiti Malaya Geological Society of Malaysia Student Chapter dengan kerjasama Geological Society of Malaysia itu telah berlangsung pada 3 dan 4 Jun 2026, dan menghimpunkan pelajar, pakar industri serta agensi profesional dalam usaha memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap bidang geosains, eksplorasi dan kelestarian bumi.
Menurut penganjur, GIW 2026 bukan sahaja berfungsi sebagai platform pendedahan akademik, malah menjadi wadah strategik bagi mengeratkan jaringan antara pelajar dan industri, di samping melatih kemahiran kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritis serta keupayaan membuat keputusan dalam kalangan pelajar.
Pada hari pertama, program menampilkan pelbagai pameran oleh kelab dan persatuan pelajar Jabatan Geologi Universiti Malaya serta badan penaja termasuk Society of Petroleum Engineers Kuala Lumpur, Geological Society of Malaysia, Board of Geologists Malaysia dan Geo Technology Resources di Muzium Geologi.
Pertandingan Mohs Rock Identification dan Volcano Eruption Challenge bagi kategori sekolah rendah turut menarik penyertaan pelajar berusia 10 hingga 12 tahun.

Program hari pertama diteruskan dengan sesi ceramah oleh pakar struktur geologi daripada PETRONAS, Fawwaz, bertajuk “Beneath the Surface: Careers and Challenges in The Oil and Gas Industry”, diikuti sesi pengenalan kepada SPE Kuala Lumpur yang disampaikan oleh Auni Haziq dan Zoe Ng Yun Rou.
Hari kedua pula menyaksikan kesinambungan pameran serta pertandingan `Mencipta Gunung Berapi' bagi peringkat sekolah menengah yang disertai empat buah sekolah termasuk Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Permaisuri dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield.
Antara pengisian utama hari kedua ialah forum “Our Future: Geology and The Future of Renewable Energy” yang menampilkan panel terdiri daripada P.Geol Ahmad Fauzi @ Adam B Hashim, Presiden Institut Geologi Malaya, Puan Hannah A. Ghaffar yang berpengalaman 15 tahun dalam industri minyak dan gas, serta Ahmad Rafdi Endut, Pemilik RNM Consult & Associate.
Sesi petang diteruskan dengan ceramah “From Outcrop to Insight: The Role of Fieldwork in Geoscience” oleh geosaintis berpengalaman lebih 17 tahun dalam industri minyak dan gas, Mohamad Hafiz bin Damanhuri.
Program kemudian diakhiri dengan Majlis Penutupan GIW 2026 yang disempurnakan oleh barisan kepimpinan Jabatan Geologi Universiti Malaya termasuk Prof. Madya Dr. Meor Abdul Hakif selaku Ketua Jabatan Geologi, Ahmad Mu’izz bin Farhan selaku Pengarah GIW 2026 serta Mirrah Maisarah binti Ab Aziz selaku Penolong Pengarah UMGSM SC, selain disertai para penaja strategik.

Secara keseluruhan, GIW 2026 menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar sekolah, pelajar STEM, staf akademik serta orang awam.
Program itu turut dilihat berjaya meningkatkan kesedaran terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 9), khususnya dalam memperkukuh peranan geosains sebagai bidang kritikal yang menyokong pembangunan teknologi, industri dan kelestarian masa depan. - DagangNews.com








