KUALA LUMPUR 5 Jun – OSK Property Holdings Bhd melancarkan projek pembangunan hartanah baharu dikenali sebagai OSK Ombak, sebuah pembangunan berstatus pegangan bebas bernilai RM690 juta yang terletak di Pantai Balok dekat Kuantan, Pahang.
Projek tepi pantai itu dibangunkan di atas keluasan 2.42 hektar dan menawarkan 1,274 unit kediaman jenis pangsapuri servis yang akan diserahkan secara berperingkat menjelang tahun 2030.
OSK Ombak turut dilengkapi unit runcit terpilih serta direka sebagai pembangunan gaya hidup berkonsepkan resort dengan sentuhan Mediterranean.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk kolam renang bertingkat, zon kesihatan, ruang riadah di podium serta kawasan komuniti yang direka untuk interaksi sosial penghuni.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Chu Wai Lune berkata OSK Ombak mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan projek kediaman yang bukan sekadar fungsi tempat tinggal, tetapi turut memberi nilai gaya hidup dan pengalaman menyeluruh.
Beliau berkata, lokasi projek yang terletak secara terus di hadapan Pantai Balok menjadikan ia antara pembangunan tepi laut yang memberi kelebihan dari segi pemandangan dan daya tarikan pelaburan.
“Dengan persekitaran berkonsepkan resort, OSK Ombak direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden yang semakin mementingkan fleksibiliti, akses mudah dan pengalaman menyeronokkan yang lebih menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, pertumbuhan ekonomi Kuantan yang disokong pembangunan industri serta penambahbaikan infrastruktur memberi keyakinan terhadap potensi jangka panjang pasaran hartanah di kawasan tersebut.
Antara faktor sokongan utama termasuk perkembangan Malaysia-China Kuantan Industrial Park, kawasan industri Gebeng serta peluasan Pelabuhan Kuantan yang terus menarik aktiviti ekonomi baharu.
Selain itu, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi pada 2027 turut dilihat akan meningkatkan kesalinghubungan antara Pantai Timur dan kawasan lain di Semenanjung Malaysia.
OSK Property berkata, pembangunan itu dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan sektor pelancongan Kuantan serta permintaan terhadap penginapan fleksibel seperti sewaan jangka pendek yang semakin popular.
Reka bentuk unit jenis “dual-key” turut disediakan bagi membolehkan pemilik memaksimumkan hasil sewaan melalui penggunaan dua ruang berasingan dalam satu unit yang meningkatkan potensi pulangan pelaburan.
Dengan harga bermula sekitar RM380,000, OSK Ombak juga dilihat sebagai antara projek berdaya saing dalam segmen kediaman tepi pantai di Pantai Timur.
Projek ini merupakan fasa ketiga pembangunan koridor kediaman tepi pantai di kawasan tersebut, selepas kejayaan beberapa projek terdahulu yang mendapat sambutan pasaran.
Secara keseluruhan, OSK Ombak dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan hartanah Kuantan, khususnya dalam segmen kediaman berasaskan gaya hidup dan pelaburan jangka panjang. – BERNAMA








