Putera Abdul Malik, Putera Abdul Mateen dilantik sebagai menteri dalam rombakan kabinet Brunei | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Putera Abdul Malik, Putera Abdul Mateen dilantik sebagai menteri dalam rombakan kabinet Brunei

Dari kiri, Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah, kekal memegang jawatan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri manakala Putera Abdul Malik dan Putera Abdul Mateen dilantik ke Kabinet Kerajaan Brunei.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 5 Jun - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan rombakan besar Kabinet kerajaan, dengan mewujudkan beberapa portfolio utama baharu serta melantik dua putera baginda sebagai menteri, sekali gus dilihat sebagai isyarat awal perancangan penggantian kepimpinan di negara kecil kaya minyak itu.

 

Rombakan tersebut merupakan yang pertama sejak 2022, ketika Brunei yang terletak di Pulau Borneo berdepan tekanan susulan krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik Amerika Syarikat–Israel dengan Iran, menurut Reuters.

 

Langkah itu turut berlaku setahun sebelum Sultan Hassanal yang merupakan pemerintah paling lama berkuasa di dunia sejak menaiki takhta pada 1967, menyambut Jubli Intan pemerintahannya.

 

Baginda yang berusia 79 tahun dan memegang pelbagai portfolio utama dalam kerajaan, dilaporkan mengehadkan penampilan awam tahun ini selepas menjalani pembedahan penggantian lutut pada Januari lalu.

 

Dalam siaran televisyen, Sultan Hassanal menegaskan baginda akan terus memegang jawatan penting sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan.

 

Xi

Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah, kekal memegang jawatan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.


 

Putera Abdul Malik

Putera kedua baginda, Putera Abdul Malik, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sekali gus menjadi pelantikan pertama beliau dalam Kabinet.


 

KWSP

Putera kedua bongsu baginda, Putera Abdul Mateen yang terkenal sebagai peminat sukan polo dan popular di media sosial, pula dilantik sebagai Menteri Luar Negeri, jawatan yang sebelum ini disandang sendiri oleh Sultan.

 

Sultan Hassanal turut mengumumkan penubuhan tiga jawatan menteri baharu bagi memperkukuh penyelarasan dasar di seluruh pentadbiran kerajaan. Pada masa sama, Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan akan disusun semula menjadi Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.

 

Menurut baginda, langkah tersebut bertujuan mempercepat pembangunan sektor keutamaan, memperkukuh usaha kepelbagaian ekonomi, menyokong pertumbuhan ekonomi mampan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bermakna.

 

Lantikan Ramai Wanita

Rombakan itu turut menyaksikan pelantikan wanita paling ramai dalam Kabinet setakat ini, termasuk Menteri Pendidikan serta tiga timbalan menteri.

 

Brunei sebelum ini antara negara yang mendapat manfaat daripada krisis di Iran, dengan peningkatan eksport minyak mentah, produk ditapis dan gas dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Namun, negara itu turut berdepan peningkatan kos subsidi bagi mengekalkan harga petrol antara yang terendah di rantau ini.

 

Bulan lalu, Brunei mula melaksanakan sekatan terhadap kenderaan berdaftar asing dengan tangki bahan api kurang tiga perempat penuh daripada memasuki negara itu, bagi membendung penyeludupan rentas sempadan serta memelihara bekalan domestik.

 

Pada Rabu, Jabatan Tenaga negara itu memaklumkan kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan menyelaras langkah-langkah menangani kesan konflik di Timur Tengah. - DagangNews.com