KUALA LUMPUR 5 Jun — Kerugian berterusan ditanggung syarikat bersekutu Edenor dilihat menjadi faktor utama menekan sentimen pelabur terhadap prospek Mega First Corporation Berhad (MFCB).
Bagaimanapun, Public Investment Bank (PublicInvest) percaya tekanan tersebut hanya bersifat sementara waktu sebelum syarikat berkenaan kembali menikmati penilaian saham yang lebih tinggi.
Menurutnya, Edenor yang dimiliki 50% oleh kumpulan itu merekodkan kerugian RM50 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2026, walaupun MFCB sudah melaburkan kira-kira RM105 juta sebelum ini.
"Susulan kerugian tersebut, nilai pegangan kumpulan ini dalam syarikat bersekutu itu susut kepada RM75 juta setakat suku pertama FY26 berbanding RM102 juta pada tahun kewangan 2025," katanya.
Ujar PublicInvest, pengurusan MFCB berpandangan risiko penurunan masih lagi terkawal dan keputusan berkaitan proses pengurusan kehakiman muktamad ke atas Edenor dijangka diketahui seawal Ogos 2026.
Menariknya, beberapa pihak menunjukkan minat untuk mengambil alih aset tersebut, dengan sebarang pelupusan hampir kepada nilai buku dijangka memberi kesan kewangan yang minimum kepada kumpulan.
Firma itu berkata, ketidaktentuan berkaitan Edenor merupakan faktor utama yang terus membebankan sentimen pasaran terhadap saham MFCB ketika ini, namun penilaian semula saham berpotensi berlaku.
"Kami menjangka perkembangan positif selepas isu tersebut dapat diselesaikan dan kumpulan kembali menumpukan perhatian kepada perniagaan teras yang lebih menguntungkan," tambah PublicInvest lagi.
Ia menegaskan yang bahagian tenaga boleh diperbaharui (RE) terus menjadi tonggak utama keuntungan MFCB, diterajui oleh loji hidroelektrik Don Sahong yang kekal sebagai penyumbang terbesar hasil.

Pada masa sama, kumpulan itu giat meneroka peluang baharu dalam sektor RE di Laos, Kemboja dan Sarawak melibatkan antaranya projek hidroelektrik serta sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Projek di Laos dan Kemboja kata PublicInvest, menawarkan pulangan dalaman (IRR) menarik sekitar 15%, lebih tinggi berbanding projek solar berskala besar (LSS) di Malaysia hanya kira-kira 7%.
"Selain itu, MFCB turut berminat menyertai pembangunan rangkaian projek hidroelektrik bertingkat di Sarawak yang melibatkan lima empangan dengan kapasiti antara 300MW hingga 800MW," jelasnya.
Dalam segmen pembungkusan pula, firma itu berkata perniagaan tersebut kekal berdaya tahan walaupun berdepan dengan peningkatan mendadak kos resin susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Pihak pengurusan ujar PublicInvest, menjangka tekanan kos itu dapat dipindahkan berperingkat kepada pelanggan menerusi kenaikan harga jualan purata (ASP) yang bermula Julai hingga Ogos 2026.
Tambahnya, MFCB mencatatkan permintaan terhadap pembungkusan berasaskan kertas juga berkembang dalam pasaran eksport utama seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, dan negara-negara Eropah.
"Pembungkusan fleksibel kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 75% daripada jumlah jualan segmen itu, dan kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM4.95 sesaham," katanya.
PublicInvest berpandangan sahamnya didagangkan pada penilaian menarik dengan nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY26 sebanyak 7.2 kali selain disokong aliran tunai kukuh dan hasil berulang.
Malah, pengurusan MFCB memberi jaminan pembayaran dividen minimum 10 sen sesaham tahun ini dan tidak menolak kemungkinan dividen khas sekiranya ada perkembangan positif. - DagangNews.com








