KUALA LUMPUR 13 Nov – Phillip Capital mengekalkan pandangan positif ke atas RGB International Berhad, walaupun menurunkan ramalan keuntungan kumpulan untuk tahun kewangan 2025 hingga 2027.
Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi berkenaan susulan kelembapan prestasi pada tempoh separuh kedua 2025 (2H25) akibat kelewatan pelbagai projek dan isu gangguan geopolitik serantau.
"Pertumbuhan jangka panjang namun kekal kukuh, dengan pemulihan dijangka pada 2026 dipacu oleh sambungan projek tertunda, dan pelancaran resort bersepadu (IR) baharu," kata Phillip Capital.
Selain itu jelasnya, pengenalan produk baharu akan membantu syarikat yang menyasarkan jualan mesin permainan elektronik (EGM) sebanyak 2,000 unit pada 2025, dengan tumpuan kepada penggantian.
Sementara untuk tahun depan pula, RGB tambah firma penyelidikan berkenaan, menjangka perniagaan tersebut mampu meningkat positif kepada 4,200 unit, berdasarkan permintaan asas yang kekal kukuh.
Ia mengimbangi prestasi 2H25 setelah terjejas oleh peraturan baharu dan ketidaktentuan politik di Filipina serta ketegangan sempadan di Kemboja, yang menunda kelulusan projek dan pemasangan EGM.
"Kami masih mengekalkan saranan 'beli' walaupun menurunkan harga sasaran 12 bulan RGB kepada 59 sen daripada 70 sen, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan 2026 sebanyak sembilan kali," katanya.
Dalam jangka panjang jelas Phillip Capital, RGB merancang pengembangan pasaran ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, dan Sri Lanka, termasuk projek kasino pertama di UAE yang bakal siap pada 2027.
Bagaimanapun firma itu memberi amaran risiko utama termasuk perubahan dasar peraturan, jualan EGM yang lebih rendah daripada jangkaan, dan masalah tumpuan pasaran. - DagangNews.com








