KUALA LUMPUR 17 April — Penyedia perisian-sebagai-perkhidmatan (SaaS), Rexit Berhad menerima lanjutan kontrak daripada Great Eastern Takaful Berhad untuk terus menyediakan perkhidmatan penyumberan luar teknologi komunikasi maklumat (ICT) bagi skim MySalam.
Syarikat tersebut berkata, penyambungan itu membolehkan ia dapat menyokong inisiatif perlindungan kesihatan negara yang dibiayai Kementerian Kewangan (MOF), bertujuan menawarkan takaful secara percuma kepada rakyat berpendapatan rendah dalam kumpulan B40.
Program khas itu katanya, menyediakan bantuan kewangan untuk kemasukan ke hospital dan rawatan penyakit kritikal, mengurangkan beban kos penjagaan kesihatan untuk individu yang layak dan meningkatkan keterangkuman penjagaan kesihatan di seluruh negara.
"Perjanjian yang diperbaharui itu dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026 dengan skop kerja termasuk pembangunan, operasi dan pengurusan portal mySalam untuk ahli yang layak mengakses pertanyaan dan penyerahan tuntutan," katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Rexit, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, lanjutan itu adalah bukti komitmen syarikat terhadap kecemerlangan perkhidmatan, kebolehpercayaan teknologi, serta integriti data dalam menyampaikan platform digital di Malaysia.
Pihaknya berbesar hati dengan kepercayaan berterusan yang diberikan MySalam dan Kementerian Kewangan kepada Rexit serta berasa bangga menyokong skim yang membawa nilai sosial cukup bermakna kepada berjuta-juta rakyat berpendapatan rendah di negara ini.

"Rexit akan terus melabur dalam aspek inovasi awan, keselamatan siber dan analitik untuk meningkatkan lagi tawaran digital. Visi kami adalah untuk menyokong kedua-dua pelanggan sektor awam dan swasta," katanya.
Beliau memberi jaminan, syarikat itu akan meningkatkan lagi tahap keupayaan infrastruktur kemudahan teknologi yang berdaya tahan dan inklusif, selaras dengan matlamat ke arah pendigitalan serta sosioekonomi negara yang lebih luas.
Rexit telah berkhidmat sebagai rakan kongsi ICT untuk skim MySalam sejak penubuhannya pada 2019, dengan membolehkan pentadbiran bermanfaat secara lancar melalui platform yang selamat dan berskala kepada semua peserta disahkan sebagai berkelayakan.
Kejayaan penyambungan kontrak itu kata kenyataan syarikat tersebut, bakal memperkukuh keupayaan Rexit dalam mengurus aplikasi perkhidmatan awam kritikal dan mencerminkan peranannya sebagai pemboleh teknologi yang dipercayai untuk inisiatif nasional.
Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan itu bermula dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan berterusan sehingga tamat tempoh perjanjian. - DagangNews.com








