KUALA LUMPUR 15 Dis – Reservoir Link Energy Berhad bercadang mengambil alih 70% baki ekuiti Propel Maxflo Sdn Bhd daripada Propel Oilfield Services Sdn Bhd pada nilai keseluruhan RM17.24 juta.
Kumpulan penyedia perkhidmatan tenaga boleh diperbaharui serta industri minyak dan gas (O&G) itu berkata, pembayaran akan dilaksanakan melalui kombinasi tunai dan penerbitan saham pertimbangan.
Pengambilalihan ini juga dijangka menjadikan Propel Maxflo sebagai anak syarikat milik penuh kumpulan tersebut, serta membolehkan ia mengawal sepenuhnya prestasi kewangan dan operasi syarikat itu.
"Pemerolehan ini akan memperkukuhkan kedudukan Reservoir Link di pasaran rantau Timur Tengah, dengan memanfaatkan kepakaran Maxflo dalam teknologi tertentu," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Langkah ini jelasnya, termasuk berupaya meningkatkan fleksibiliti tenaga kerja merentas rantau, termasuk Malaysia, India, Thailand, dan enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Asia Barat.
Selain itu, kumpulan tersebut juga mencadangkan Pelan Insentif Jangka Panjang (LTIP) baharu untuk ramai kakitangan yang berkelayakan, untuk menggantikan Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) 2021.
Rancangan ini membolehkan maksimum 15% daripada jumlah saham Reservoir Link diberi melalui ESOS Options dan SGS Awards, bertujuan menyelaraskan kepentingan kakitangan dengan matlamat korporat.
"Cadangan baharu tersebut untuk mengekalkan bakat, serta memberi peluang penyertaan ekuiti dalam syarikat," jelas kumpulan berkenaan yang ditubuhkan sejak 2008 dan berpangkalan di Kuala Lumpur.
Syarikat itu tambahnya, sudah memperoleh kelulusan rasmi daripada Bursa Malaysia Securities Berhad pada 9 Disember 2025 untuk melengkapkan proses pengambilalihan Propel Maxflo dan LTIP.
Bagaimanapun kata Reservoir Link, ia masih tertakluk dengan kelulusan pemegang saham dan dijangka diperoleh muktamad pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Lembaga Pengarah, kecuali dua pengarah bebas yang terlibat, mengesyorkan pemegang saham mengundi menyokong cadangan pengambilalihan, manakala LTIP tidak diberikan sebarang ulasan. - DagangNews.com








