Reneuco bakal dinyahsenarai dari Bursa Malaysia pada 12 Mei selepas rayuan ditolak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reneuco bakal dinyahsenarai dari Bursa Malaysia pada 12 Mei selepas rayuan ditolak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Mei – Reneuco akan dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 12 Mei 2026 selepas rayuan syarikat itu untuk mendapatkan lanjutan masa mengemukakan pelan regularisasi ditolak Bursa Malaysia Securities.

 

Bursa Malaysia dalam satu makluman  berkata, keputusan itu dibuat selepas syarikat gagal memenuhi keperluan untuk menstruktur semula kedudukan kewangannya bagi keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Menurut Bursa Malaysia Securities, permohonan Reneuco untuk melanjutkan tempoh pengemukaan pelan regularisasi telah ditolak pada 6 April 2026.

 

Susulan itu, Bursa menetapkan dagangan sekuriti syarikat digantung mulai 14 April 2026 kecuali syarikat mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

 

Reneuco kemudian mengemukakan rayuan pada 13 April 2026, iaitu pada hari sama penasihat utama pelan regularisasinya, TA Securities Holdings Bhd menarik diri daripada peranan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

 

Bagaimanapun, rayuan syarikat itu akhirnya ditolak menyebabkan saham Reneuco akan dikeluarkan secara rasmi daripada senarai Bursa Malaysia pada 12 Mei ini.

 

Syarikat itu diklasifikasikan sebagai PN17 pada Februari 2024 selepas juruaudit gagal memperoleh bukti mencukupi untuk menyokong pendapat audit terhadap penyata kewangannya, khususnya melibatkan penghutang dan pemiutang perdagangan selain hasil serta kos jualan.

 

Reneuco terlibat dalam perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) utiliti tenaga serta projek infrastruktur selain pembangunan hartanah.

 

Kumpulan itu sebelum ini dikenali sebagai Kumpulan Powernet Bhd sebelum menukar nama kepada KPower Bhd pada Disember 2020 dan seterusnya menggunakan nama Reneuco pada September 2022.

 

Dalam perkembangan lain, Bursa Malaysia pada 9 Januari lalu turut mengeluarkan teguran awam terhadap Reneuco serta lima pengarahnya kerana gagal mengumumkan laporan tahunan 2023 mengikut tempoh ditetapkan yang melanggar keperluan pendedahan pasaran.

 

Pada 21 Januari 2026 pula, perjanjian pembelian tenaga solar syarikat dengan Tenaga Nasional Berhad ditamatkan, menyebabkan syarikat merekodkan caj liabiliti sebanyak RM45 juta.

 

Sehingga akhir Disember 2025, Reneuco memiliki tunai berjumlah RM9.54 juta berbanding jumlah pinjaman keseluruhan RM291.05 juta.

 

Pada masa sama, syarikat merekodkan kerugian terkumpul sebanyak RM152.4 juta dengan aset bersih 10 sen sesaham.

 

Pengerusi Eksekutif Reneuco, Mustakim Mat Nun merupakan pemegang saham terbesar kumpulan itu dengan pegangan langsung sebanyak 0.08% dan pegangan tidak langsung 16.68% menerusi OHP Ventures Sdn Bhd.

 

Saham Reneuco kali terakhir didagangkan pada harga setengah sen, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sekitar RM5.7 juta. - DagangNews.com