KUALA LUMPUR 19 Sept – Golongan berpendapatan sederhana (M40) menghadapi kesukaran ketara memiliki rumah sendiri, apabila pinjaman RM300,001 hingga RM500,000 paling tinggi ditolak bank.
Menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), 71 peratus pemaju melaporkan pembeli mereka susah mendapatkan pembiayaan akhir hartanah itu daripada institusi kewangan.
Presidennya, Datuk Ho Hon Sang menyatakan, isu penolakan pinjaman tertumpu dalam julat harga berkenaan, iaitu kategori yang sering disasarkan kepada pembeli rumah pertama dan kumpulan M40.
“Penolakan tertinggi berlaku dalam segmen RM300,001 hingga RM400,000, yang masih dianggap harga rumah mampu milik, dan ironi inilah pasaran hartanah paling ramai pembeli berpotensi," katanya.
Beliau menambah, golongan tersebut menghadapi cabaran getir untuk kelulusan pinjaman dan ia turut
dilaporkan dalam Kajian Industri Hartanah Separuh Pertama 2025 yang dilaksanakan REHDA sendiri.
Walaupun laporan itu tidak menyatakan sebab spesifik penolakan oleh bank, bekas presiden REHDA, Datuk NK Tong pula menjelaskan, wujud kekangan struktur dalam sistem menyukarkan pembeli tulen.
Kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan pembeli rumah bawah harga jualan RM300,000 perlu mempunyai pendapatan isi rumah yang tidak melebihi daripada RM10,000.
"Kriteria ini bertujuan memastikan rumah itu jatuh ke tangan kumpulan sasar. Masalahnya, bank lebih selesa meluluskan pinjaman kepada pemohon berpendapatan lebih tinggi pula," kata beliau.
Keadaan tersebut tambahnya, mengakibatkan permohonan daripada pembeli dalam kelompok sasaran yang sebenar kerana jelas berpendapatan rendah, akhirnya ditolak oleh institusi kewangan berkenaan.
Beliau menyifatkan situasi ini sebagai ironi, apabila dasar perumahan yang diwujudkan kerajaan untuk membantu golongan tidak berkemampuan, gagal kerana alasan sama iaitu mereka tidak mampu.
Justeru REHDA menyarankan agar situasi itu perlu ditangani secara menyeluruh, termasuk melalui kerjasama lebih erat antara pemaju dan bank serta penilaian semula mekanisme penyaluran pinjaman.
"Dasar lebih inklusif dalam menilai risiko pembeli pertama wajar ada dan REHDA turut menyokong langkah kerajaan menambah baik skim sokongan pembiayaan bagi golongan M40 dan B40," katanya.
Tambah beliau, polisi perumahan mampu milik sepatutnya benar-benar dapat memberi impak kepada kumpulan sasar, bukan sekadar angka atas kertas. - DagangNews.com








