KUALA LUMPUR 13 Jun — Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) memberi peringatan keras pelaksanaan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai awal bulan depan boleh menyebabkan harga perumahan menjadi lebih mahal.
Presidennya, Datuk Ho Hon Sang ketika memberi amaran itu berkata, cukai 6 peratus yang dirancang ke atas perkhidmatan pembinaan boleh meningkatkan harga jualan kediaman baharu dan diburukkan lagi dengan situasi kelembapan pasaran.
Cukai berkenaan kata beliau, dijangka menambahkan beban kewangan ke atas pihak pemaju yang sudah pun terpaksa membayar cukai tidak langsung ke atas bahan dan buruh, serta berpotensi menyemak kajian semula garis masa dan harga projek semasa.
"Kami masih belum lagi menentukan kesan yang tepat, tetapi REHDA menjangkakan bahawa langkah itu akan membawa kepada kelembapan dalam pasaran kerana pemaju perlu membuat pelarasan kepada rancangan mereka," tambahnya dalam kenyataan.
Organisasi itu muncul sebagai pihak terbaharu yang mengadu mengenai risiko daripada kesan buruk peluasan SST itu kepada aktiviti perniagaan selepas 1 Julai 2025 dan merayu kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan sistem percukaian tersebut.
Sebelum ini, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK Malaysia).
Kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2025 bercadang untuk mengutip cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan pembinaan untuk bangunan infrastruktur, komersial dan perindustrian, jika nilai bercukai melebihi RM1.5 juta setahun.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menjelaskan, pengecualian diberi untuk bangunan kediaman, kemudahan awam berkaitan dengan perumahan dan kontrak tidak boleh disemak yang menerima penangguhan selama 12 bulan dari tarikh berkuat kuasa.
Mengulas lanjut, Hon Sang berkata, SST yang diperluaskan itu sebenarnya berisiko menjejaskan kestabilan sektor hartanah tempatan, terutamanya jika cukai tersebut digunakan secara retrospektif kepada kontrak yang sedia ada dimuktamadkan.
"Sebarang kenaikan harga yang diselaraskan dengan kontrak yang ditandatangani sebelum tarikh berkuat kuasa itu boleh mengakibatkan lebihan kos, serta menyebabkan pemaju tiada pilihan selain terpaksa menyerap kos tambahan," katanya.
Beliau menambah walaupun rumah dan kemudahan awam yang berkaitan dikecualikan daripada SST, REHDA amat bimbang mengenai pangsapuri servis dalam projek guna campuran di tanah komersial, yang kini tertakluk kepada cukai berkenaan.
Langkah kerajaan memasukkan unit-unit ini kepada liputan peluasan SST katanya, sudah pasti akan membawa kepada peningkatan harga perumahan, dan akhirnya memberi kesan kepada pembeli rumah berstrata itu yang terpaksa menanggung beban.
Hon Sang menegaskan, golongan berpendapatan rendah, termasuk pembeli di bawah program kerajaan sendiri seperti Rumah Madani, Rumah Selangorku, dan Rumah Mesra Rakyat, akan menghadapi tekanan yang lebih besar daripada kesan kenaikan harga.
Selanjutnya tambah beliau, unit rumah kedai yang secara kelazimannya disepadukan bersama ke dalam kawasan perumahan dan infrastruktur strata juga akan dikenakan cukai itu, sekali gus dijangka menambahkan lagi peningkatan kos keseluruhan.
"Kami dengan hormatnya meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menangguhkan tarikh pelaksanaan, yang ditetapkan pada masa ini kira-kira dua minggu dari sekarang dan sebaliknya meminta tempoh tunda sehingga 2026," katanya. - DagangNews.com








