REDtone tingkatkan pegangan dalam Theta Edge kepada 12.66%, jadi pemegang saham kedua terbesar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

REDtone tingkatkan pegangan dalam Theta Edge kepada 12.66%, jadi pemegang saham kedua terbesar

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Jan - REDtone Digital Bhd meningkatkan pegangan sahamnya dalam Theta Edge Bhd sejak Julai 2024, menjadikannya pemegang saham kedua terbesar syarikat tersebut.

 

REDtone yang juga anak syarikat Kumpulan Berjaya, membeli 7.44 juta saham dalam Theta Edge melalui pasaran terbuka dengan nilai RM13.7 juta atau purata RM1.84 setiap saham dari 12 Julai 2024 hingga 24 Januari 2025.

 

"Berikutan pemerolehan ini, REDtone kini memegang sejumlah 14.94 juta saham Theta Edge, mewakili 12.66% kepentingan ekuiti dalam Theta Edge," kata REDtone dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, semalam.

 

Pemegang saham utama Theta Edge yang lain termasuk Lembaga Tabung Haji dengan pegangan 27.28% dan Threadstone Capital Sdn Bhd dengan 8.48%.

 

Threadstone dimiliki bersama oleh Pengarah Theta Edge, Zainal 'Abidin Abd Jalil dan Haslinah Hassan.

 

Sejak awal 2024, Threadstone mengurangkan pegangan dalam Theta Edge dari 16.53% kepada 8.48%. 

 

Pemfailan dengan Bursa menunjukkan, Threadstone telah menjual kira-kira 9.5 juta saham atau pegangan 8.05% dalam Theta Edge.

 

Sementara itu, pemegang saham utama REDtone terdiri daripada Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya dengan pegangan 36.65% dan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan 17.34%. - DagangNews.com