REDtone dan firma Singapura, ST Engineering bangunkan transformasi digital AI dijana 5G di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

REDtone dan firma Singapura, ST Engineering bangunkan transformasi digital AI dijana 5G di Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mac — REDtone Digital Berhad menjalin kerjasama strategik dengan firma terkenal dari Singapura, Singapore Technologies Engineering Ltd untuk melancarkan rumusan sambungan generasi akan datang yang menyasarkan pelbagai sektor utama.
 

Menurut kenyataan syarikat tersebut, pemeteraian diadakan ketika World Mobile Congress 2025 di Barcelona, Sepanyol, dengan tumpuan mereka bakal meliputi teknologi pertanian, telekomunikasi, penjagaan kesihatan, logistik dan infrastruktur bandar di Malaysia.
 

Inisiatif tersebut jelasnya, dilaksanakan ketika timbul ramalan antaranya daripada firma penyelidikan antarabangsa, Mordor Intelligence yang menunjukkan berlaku trend pertumbuhan ketara dalam sektor ekonomi digital Malaysia.
 

Ia mengunjurkan bahawa pasaran transformasi digital negara ini dijangka berkembang dengan begitu baik, mencecah RM113.3 bilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 18.92 peratus daripada tahun 2025 kepada 2030.

 

Ini selari dengan kajian oleh firma antarabangsa, Statista yang menganggarkan pasaran Internet of Things (IoT) di Malaysia boleh berkembang pesat kepada RM20.6 bilion menjelang 2029 daripada hanya sebanyak RM13 bilion sepanjang tahun ini.
 

Ketua Pegawai Eksekutif REDtone, Lau Bik Soon berkata, transformasi digital Malaysia semakin pesat dengan ramalan pertumbuhan tahunan 12 peratus dalam pasaran IoT yang menggambarkan pergantungan meningkat kepada alat digital untuk kecekapan operasi.
 

"Sementara itu, ada mengunjurkan sebanyak 45 peratus penembusan 5G menjelang 2030 yang menunjukkan perkembangan pesat dalam sambungan lanjutan, begitu penting untuk perkhidmatan digital generasi akan datang terutamanya daripada aplikasi AI dan IoT," katanya.
 

Secara kolektif ujar beliau, aliran positif tersebut menawarkan rasional yang kukuh dan dipacu data untuk kerjasama yang berjaya antara REDTone dengan ST Engineering.
 

Bahagian penting perkongsian itu tambahnya, ialah Platform MEC, yang membolehkan alat digital seperti realiti tambahan dan maya, analitik video langsung, aplikasi AI dan IoT untuk telekomunikasi, penjagaan kesihatan dan pertanian dengan pemprosesan data secara tempatan.
 

Perkembangan ini bakal memberikan masa tindak balas yang lebih pantas, trafik rangkaian yang kurang dan penggunaan data yang lebih rendah serta memastikan operasi aplikasi kritikal yang boleh dipercayai.
 

Selain itu jelas Bik Soon, penyelesaian fleksibel platform itu dijangka mencipta peluang pendapatan baharu kerana REDtone menguruskan keseluruhan proses transformasi digital untuk pelanggan perusahaannya terutama daripada sektor telekomunikasi, logistik, teknologi pertanian dan pembuatan.
 

Sementara itu, Pengurus Besar Kesambungan Lanjutan ST Engineering, Sebastian Tan berkata, dalam dunia yang serba pantas dan sentiasa berubah, ketersambungan termaju adalah lebih kritikal berbanding sebelum ini.
 

"Ia membolehkan perniagaan, kerajaan dan individu berkembang maju dalam persekitaran yang mengutamakan digital. Perkongsian ini menunjukkan komitmen bersama kami untuk memajukan ketersambungan melalui pemprosesan data setempat, menyampaikan penyelesaian berskala yang menyokong aplikasi digital penting dan memacu pertumbuhan yang mampan," katanya. - DagangNews.com