Ketegasan Perdana Menteri yang mahu semua perolehan dalam sektor pertahanan perlu dilakukan secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan mesti dipandang serius.
Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tidak akan sesekali membenarkan sebarang pihak dalam sektor pertahanan negara terlibat dalam amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Perbuatan sedemikian bukan sahaja mengkhianati amanah yang diberikan, tetapi juga merosakkan keselamatan serta keamanan negara.
"Semua harus guna proses tender. Saya tidak peduli (anda) dari mana, besar mana, (perlu) ikut proses. Nak beli seumpamanya perkakasan digital, kecerdasan buatan (AI) yang baharu, pusat data ataupun senjata (mesti) ikut proses.


"Tentukan keperluan negara, jangan beli kapal (namun) berpuluh-puluh tahun tersadai, berbilion ringgit hilang. Ini kerja yang akan jahanamkan negara, padahal ini soal pertahanan negara," kata beliau.
Nada yang disampaikan ketika berucap pada majlis perasmian Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 di Putrajaya semalam jelas menunjukkan pendirian Perdana Menteri bahawa isu rasuah dalam kontrak pertahanan mesti dibasmi.
Ia bukan pada peringkat Kementerian Pertahanan (Mindef) sahaja, malah semua kementerian dan agensi yang terlibat dalam proses pembelian kelengkapan pertahanan bermula dari peringkat bawahan.
Ketika ini isu tentang kontrak pertahanan yang terus diperkatakan ialah projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Skandal LCS misalnya membabitkan ketirisan dana, pengurusan program yang lemah, ketiadaan integriti dan kemungkinan membabitkan aspek jenayah, bukan berkaitan sistem pada kapal.


Walaupun kontrak pembinaan kapal diberikan secara rundingan terus, tetapi ia diputuskan kerajaan pada masa itu dengan matlamat nasional untuk memajukan limbungan perkapalan tempatan dalam bidang pertahanan maritim.
LCS pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi setakat siasatan itu dijalankan dua tahun lalu, hanya 44 peratus siap.
Menurut jadual asal sepatutnya lima kapal harus disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menjalankan siasatan memberi syor agar Mindef dan TLDM harus memastikan penggunaan dana secara berhemah, mengutamakan keperluan untuk menyiapkan LCS tanpa pembaziran.
PAC juga mahu peranan Proaktif Kementerian Kewangan memastikan tiada pembaziran wang rakyat dalam projek pembinaan LCS.


Mengikut jadual baharu, LCS pertama disiapkan pada tahun 2026 diikuti kapal kedua setahun kemudian dengan kapal kelima pada 2029.
Kelewatan projek LCS memberikan kerugian kepada TLDM apabila tidak dapat memiliki kapal perang yang mana impaknya besar terhadap keselamatan maritim negara.
Kes rasuah membabitkan pegawai kanan ATM turut didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2021.
Seorang pegawai kanan berpangkat jeneral dan seorang ahli perniagaan ditahan kerana disyaki menerima rasuah dalam pembelian aset pertahanan.
Individu ini dikatakan menerima rasuah berjumlah RM800,000 berkaitan kontrak bekalan kepada ATM.


Pada Januari 2024 pula, SPRM menahan tiga individu atas kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang kartel perolehan kepada 13 buah syarikat pembekal yang menguruskan kerja-kerja pembinaan di sebuah kem TLDM dengan nilai lebih RM9 juta.
Pembayaran penuh dikatakan telah dibuat meskipun pembinaan masih belum siap dengan sempurna.
Perkara tersebut disahkan Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob membabitkan kerja pembinaan di sebuah kem miliknya di Johor.
Kes-kes ini menunjukkan bagaimana rasuah dalam sektor pertahanan boleh menyebabkan ketirisan dana negara, kelewatan projek strategik, dan kesan buruk kepada keselamatan.
Bagaimana pun, skandal terbesar yang masih menjadi kontroversi ialah keputusan pembelian
dua kapal selam Scorpène dari syarikat Perancis, DCNS dan syarikat Sepanyol, Navantia, dengan nilai kontrak sekitar €1.084 bilion (RM4.6 bilion) pada tahun 2002.

Sebuah syarikat tempatan yang dikaitkan dengan individu berprofil tinggi didakwa menerima komisen lebih €114 juta (RM500 juta).
Dakwaan menyatakan pembayaran tersebut adalah rasuah berkaitan pembelian kapal selam dan bukan untuk perkhidmatan sokongan seperti yang didakwa kerajaan.
Walaupun siasatan di Malaysia tidak menemukan kesalahan jenayah, siasatan di Perancis membuktikan pembayaran haram berlaku.
Mahkamah Perancis pada 2022 mendapati bahawa terdapat bukti kukuh pembayaran tidak sah kepada syarikat tempatan tersebut.
Beberapa pegawai DCNS dan firma pertahanan lain didapati bersalah kerana membayar sogokan kepada pegawai Malaysia.


Sepanjang tempoh 3 tahun ini, Mindef melaksanakan pembelian aset pertahanan negara melalui perolehan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) berdasarkan perjanjian persefahaman (MoU) yang dibuat dengan kerajaan negara terlibat.
Melalui MoU itu, kerajaan negara berkenaan akan mengenal pasti Original Equipment Manufacturer (OEM) atau syarikat yang mempunyai keupayaan untuk berkontrak dengan pihak kementerian.
Pendekatan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan penglibatan orang tengah serta elemen monopoli keterlaluan dalam mendapatkan anggaran harga dan spesifikasi bagi sesuatu perolehan.
Kerajaan juga mengamalkan tender terbuka dan kompetitif bagi memastikan semua pihak berpeluang secara adil.
Sebagai contoh pembelian 18 pesawat LCA FA-50M dari Korea Selatan, 3 kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 dari Türkiye dan terbaru, kapal pelbagai peranan untuk Maritim Malaysia juga dari negara tersebut.
Kesemua pembelian ini melibatkan peruntukan hampir RM7 bilion.
Pembinaan pesawat LCA kini berjalan mengikut jadual untuk diserahkan pada 2026 manakala pembinaan awal kapal LMS Batch 2 telah dimulakan dan dijangka siap pada 2027.
Mengatasi amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam pembelian pertahanan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan ketelusan, pengawasan ketat dan akauntabiliti.
Dengan melaksanakan langkah-langkah ini, risiko rasuah dalam pembelian pertahanan dapat dikurangkan, memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan berkesan dan keselamatan negara tidak dikompromi. - DagangNews.com







