Rasionalisasi subsidi RON95 sebagai persediaan kepada cukai karbon, kata Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rasionalisasi subsidi RON95 sebagai persediaan kepada cukai karbon, kata Amir Hamzah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Jun — Pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 adalah langkah awal ke arah pengenalan cukai karbon pada 2026, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan 


Tambah beliau, usaha itu turut menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon dan pada peringkat tertentu, dijangka memastikan industri untuk menerima pakai operasi yang lebih hijau.


Bagaimanapun katanya, pengenaan cukai itu bergantung kepada kecekapan mekanisme pasaran seperti ditunjukkan menerusi kejayaan rasionalisasi subsidi diesel dan pelarasan terancang petrol RON95.

 

 

 

 


Amir Hamzah menjelaskan bahawa herotan pasaran, khususnya subsidi secara menyeluruh di seluruh negara, mesti ditangani terlebih dahulu sebelum cukai karbon dapat dilaksanakan dengan baik.


“Terdapat banyak penyelewengan yang berlaku dalam sistem ekonomi Malaysia hari ini kerana kita (kerajaan) telah memberikan subsidi begitu menyeluruh kepada semua, yang merupakan isu besar.


"Kita melihat perubahan tingkah laku yang baik (rasionalisasi subsidi diesel tahun lepas) apabila Malaysia bukan lagi destinasi murah untuk penyeludupan bahan api bersubsidi kepada negara jiran.


"Kerajaan juga mengubah cara diesel dibekalkan kepada industri bagi menghalang pengambilan bahan api bersubsidi untuk orang ramai yang kemudian disalahgunakan untuk operasi komersial," katanya.


Amir Hamzah menyatakan pandangan demikian sebagai antara ahli panel ketika sesi yang bertajuk 'Menyampaikan Peralihan Tenaga Malaysia' pada forum Energy Asia 2025 di ibu negara hari ini.


Beliau seterusnya menegaskan bahawa konsep cukai karbon bertindak sebagai mekanisme penghalang dan dorongan untuk menggalakkan sektor industri mengamalkan amalan pelepasan rendah karbon.


"Konsep percukaian ini akan memaksa pemain industri tempatan untuk segera beralih daripada segmen pelepasan tinggi karbon dan kemudian berubah kepada elemen yang lebih hijau," tambah beliau.


Cukai karbon, merupakan ukuran utama yang diketengahkan dalam pembentangan Belanjawan 2025, dan dijangka berkuat kuasa menjelang 2026, dengan menyasarkan ke atas sektor pelepasan tinggi.


Antaranya industri besi, keluli dan tenaga dengan objektif utama untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau menerusi caj kepada syarikat yang terlibat dalam aktiviti intensif karbon. - DagangNews.com