KUALA LUMPUR 26 Mei — Langkah rasionalisasi subsidi bahan api petrol RON95 dijangka dilaksanakan pada tempoh separuh kedua 2025, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan (MOF) dijangka meneruskan proses rasionalisasi minyak itu, namun tumpuan semasa adalah untuk mengenal pasti kumpulan yang layak menerima bantuan subsidi.
Tambahnya, MOF masih lagi akan meneruskan rasionalisasi tersebut, tetapi buat masa ini, keutamaan kerajaan adalah bagi memastikan penerima yang betul akan tetap memperoleh subsidi berkenaan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Kabinet, sedang membincangkan kelayakan untuk rakyat Malaysia, dan tahap kelayakan untuk menerima subsidi akan dinaikkan,” katanya.
Amir Hamzah berkata demikian apabila ditanya pemberita selepas merasmikan Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2025 di sini hari ini.
Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024 berkata, kerajaan akan mengurangkan subsidi petrol pada pertengahan 2025 dan dijangka menjimatkan hasil sebanyak RM8 bilion setahun.
Pembuat dasar merancang sistem harga dua peringkat dengan Perdana Menteri berkata, hanya 15 peratus golongan paling kaya membayar harga pasaran, manakala selebihnya menikmati subsidi semasa. - DagangNews.com








