KUALA LUMPUR 13 Nov – Rapid Synergy Berhad menjelaskan rasional cadangan pelupusan hartanah anak syarikatnya dengan harga cuma RM41 juta, iaitu diskaun 18% berbanding nilai pasaran RM50 juta.
Menurut kumpulan itu dalam mengemukakan jawapan balas kepada pertanyaan Bursa Malaysia Securities, kadar berkenaan sudah pun dinilai secara bebas oleh PA International Property Consultants Sdn Bhd.
Tambahnya, hartanah yang dimiliki subsidiarinya, Persiaran Eksklusif Sdn Bhd (PESB) di Teluk Intan, Perak itu dan untuk dijual kepada Lotuss, adalah berdasarkan nilai pasaran semasa beberapa lot sekitarnya.
"Pelupusan ini dianggap peluang tepat masa untuk membuka nilai pelaburan aset di tengah pasaran hartanah yang lembap dan permintaan terhad aset seumpamanya," maklum Rapid Synergy kepada bursa.
Selain itu, jelasnya, tiada tawaran lain yang diterima bagi hartanah berkenaan, dan hasil jualan dijangka memperkukuh kedudukan tunai kumpulan serta mengurangkan kos penyelenggaraan berterusan.
Katanya, walaupun nilai pasaran semasa dianggarkan RM50 juta, penilaian itu berdasarkan pendekatan kos memandangkan tiada transaksi setanding bagi hartanah dengan reka bentuk dan fungsi yang sama.
Kaedah berkenaan tambah Rapid Synergy, menilai nilai tanah serta kos penggantian bangunan dengan mengambil kira susut nilai dan faktor usia bangunan serta perbandingan aset di kawasan berdekatan.
"Tiada liabiliti atau jaminan baharu yang kekal dengan PESB selepas pelupusan, manakala deposit cagaran sudah dibayar oleh Lotuss pada 18 April 2025, selain masih terdapat lima penyewa sedia ada," katanya.
Bagaimanapun, identiti mereka tidak dapat didedahkan tanpa kebenaran rasmi, manakala pelupusan dijalankan secara penjual perlu kekal menanggung perjanjian sewa sehingga urus niaga itu selesai.
Rapid Synergy pada masa yang sama menjangka pelupusan tersebut akan menghasilkan keuntungan bersih kira-kira RM2 juta berdasarkan nilai buku bersih (NBV) hartanah berkenaan sebanyak RM38.8 juta.
Pihak lembaga pengarahnya berpendapat harga jualan adalah munasabah memandangkan peningkatan kos penyelenggaraan bangunan lama dan kesukaran mendapatkan pembeli berpotensi bagi lokasi tersebut.
"Dari sudut kewangan, pelupusan dijangka mengurangkan nisbah hutang bersih ekuiti kumpulan daripada 50.35% menjadi hanya 35.44%, selain menghapuskan pendapatan sewaan tahunan RM2.54 juta," katanya.
Hasil jualan itu menurut Rapid Synergy, namun akan digunakan semula sebagai modal kerja dan peluang perniagaan baharu yang berpotensi menjana pulangan masa depan kepada kumpulan dalam jangka panjang.
Laporan penilaian bertarikh 17 Julai 2024 boleh diperiksa di pejabat berdaftar syarikat itu di Megan Avenue 1, Kuala Lumpur, dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pengumuman ini. - DagangNews.com








