KUALA LUMPUR 18 Ogos - Ranhill Utilities Berhad menamatkan sepenuhnya memorandum persefahaman (MoU) untuk projek pembangunan Sistem Penyediaan Air Minum (SPAM) di Indonesia.
Kumpulan itu berkata, perkara berkenaan telah dimuktamadkan Lembaga Pengarahnya setelah menilai pelbagai perubahan dalam hala tuju strategik perniagaan kumpulan di negara jiran tersebut.
Keputusan penamatan projek SPAM Ir H Djuanda/Jatilugur II itu dibuat setelah mengambil kira banyak faktor termasuk penilaian semula keutamaan pelaburan dan fokus perniagaan masa depan syarikat.
“Syarikat telah mengambil kira sepenuhnya kesan kewangan yang timbul akibat penamatan projek ini dalam penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025,” maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Pengumuman terkini itu katanya, adalah lanjutan kepada siri pemakluman pada 23 Julai 2020, 27 Julai 2020, 26 Ogos 2020, 30 November 2020, 29 Mac 2021, 28 Mei 2021, 30 Ogos 2021, 29 November 2021, 25 Februari 2022, 31 Mei 2022, 26 Ogos 2022, 30 November 2022, 24 Februari 2023, 29 Mei 2023, 15 Ogos 2023, 14 November 2023, 29 Februari 2024, 27 Mei 2024, 14 Ogos 2024, 14 November 2024, 18 Februari 2025 dan 18 Mei 2025.
Projek SPAM yang dirancang sebelum ini merupakan sebahagian daripada usaha pengembangan Ranhill Utilities ke pasaran serantau, khususnya dalam sektor penyediaan dan pengurusan air di Indonesia.
Ia diumumkan oleh kumpulan berkenaan ketika menyertai Forum Pelaburan Indonesia di Ekspo Dubai 2020 pada 15 dan 16 November lalu dianjurkan Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Indonesia (Kemen PUPR).
Katanya, ia dijangka memiliki kapasiti pengeluaran 7,000 liter sesaat atau 605 juta liter sehari yang memberi manfaat kepada pengendali air tempatan di Jakarta dan tiga wilayah di Provinsi Jawa Barat.
Menerusi projek usaha sama awam-swasta itu, kerajaan Indonesia menyasarkan untuk menyediakan akses bekalan air bersih kepada sejumlah 3.9 juta penduduk di Jakarta menerusi lebih 500,000 saluran.
Ranhill Utilities mengetuai konsortium berkenaan yang turut disertai oleh syarikat milik kerajaan Indonesia, PT PP Infrastructure dan sebuah firma Indonesia dikenali sebagai Varsha Zamindo Lestari.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut menegaskan bahawa keputusan penamatan itu tidak memberi apa-apa kesan material terhadap operasi semasa dan pelan pertumbuhan masa depan kumpulan. - DagangNews.com








