KUALA LUMPUR 21 April — Ranhill Utilities Berhad dilihat berada pada kedudukan yang amat strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat industri pusat data (DC) di Johor, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, peralihan pelaburan DC ke Asia Tenggara terutamanya Johor, susulan ketidaktentuan geopolitik global membuka peluang besar kepada syarikat sebagai pembekal air utama.
Tambahnya, pertumbuhan agresif DC berpotensi meningkatkan permintaan air sehingga 250 juta liter sehari, sekali gus menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan jangka panjang kumpulan tersebut.
"YTL Power International Berhad, iaitu pemegang saham utama Ranhill sendiri, menyasarkan kapasiti DC sebanyak 1.3GW, lebih dua kali ganda daripada sasaran asal,” kata TA Securities dalam nota.
Bagaimanapun jelasnya, untuk tempoh jangka pendek, syarikat utiliti berkenaan masih lagi berdepan dengan tekanan kos susulan peningkatan tarif elektrik akibat kenaikan harga bahan api global.
Setiap kenaikan 1% tarif elektrik ujarnya, boleh mengurangkan lagi pendapatan kumpulan berkenaan sekitar 0.6% setahun, dengan unjuran keuntungan FY27 dan FY28 disemak turun hampir kira-kira 3%.

Melalui anak syarikatnya Ranhill SAJ, kumpulan itu terdedah kepada mekanisme pelarasan bahan api automatik (AFA), dan mencerminkan turun naik kos tenaga, khususnya arang batu diimport sepenuhnya.
"Walaupun begitu, impak terhadap kos bahan kimia rawatan air pula dijangka masih adalah terhad berikutan kontrak bekalan dalam tempoh jangka panjang pada kadar harga yang tetap," tambahnya.
Pada masa sama, TA Securities menjangka kapasiti loji rawatan air di Johor kekal ketat berikutan lonjakan permintaan DC, dengan margin rizab berpotensi berada di bawah paras minimum disyorkan.
Situasi ini ujar firma penyelidikan tersebut, boleh mendorong keperluan pelaburan baharu Ranhill dalam pengembangan kapasiti serta membuka ruang besar kepada semakan tarif air pada masa depan.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.35 sesaham, susulan potensi pertumbuhan syarikat itu daripada pembangunan DC dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Walaupun berdepan cabaran tekanan kos jangka pendek, asas pertumbuhan jangka panjang Ranhill kekal kukuh disokong permintaan utiliti yang semakin meningkat,” tambah TA Securities. - DagangNews.com








