KUALA LUMPUR 17 Mac — Ranhill Utilities Berhad meramalkan pendapatan untuk tahun kewangan 2026 (FY26) dan tahun kewangan 2027 (FY27) boleh meningkat kira-kira 13 peratus jika kerajaan Johor meneruskan kenaikan tarif air menjelang Julai 2025.
Peningkatan tersebut akan menjadikan kadar baharu antara 2.5 peratus dan 10 peratus masing-masing untuk pengguna domestik dan bukan domestik serta pengenalan tarif istimewa dikenakan sebanyak RM5.50 bagi setiap meter padu.
RHB Research menganggarkan bahawa unjuran berkenaan telah mengambil kira sebanyak 627 megawatt (MW) kapasiti pelbagai pusat data di negeri berkenaan yang dijangka dapat beroperasi menjelang FY26.
"Selain itu, kami mengandaikan kenaikan tarif berkala setiap tiga tahun, dengan pelarasan seterusnya berpotensi berlaku pada tahun kalendar 2027 (CY27), tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan tersebut bagaimanapun menyatakan bahawa tiada perubahan pada anggaran pendapatan Ranhill sehingga kenaikan tarif air sebenar dilaksanakan.
Ia telah menurunkan kadar diskaun bagi segmen air Ranhill daripada 7.5 peratus kepada 6 peratus untuk mengambil kira keadaan kawal selia yang menggalakkan, terutamanya potensi tarif air yang lebih tinggi untuk pusat data.
"Kami percaya tarif yang lebih tinggi untuk pengendali pusat data tidak akan menjadi penghalang kepada prospek pusat data negara kerana elemen lain, seperti tanah, dan ia masih kekal menarik bagi pelabur," tambahnya.
RHB Research telah menyemak semula saranannya mengenai Ranhill daripada 'Beli' kepada 'Jual', serta melaraskan harga sasaran sesaham syarikat utiliti itu daripada RM1.05 kepada RM1.37. - DagangNews.com








