KUALA LUMPUR 23 Jun — Usaha Wasco Berhad ingin memisahkan bahagian perniagaan biotenaga kumpulan itu, Wasco Greenergy Berhad diunjur menerima sambutan positif pelabur, menurut penganalisis.
Kenanga Research berkata, reaksi terhadap cadangan penyenaraian secara berasingan di bursa itu menyaksikan ramai pelabur berminat terhadap saham kumpulan tersebut dalam dagangannya pada pagi.
Firma penyelidikan itu turut menaik taraf Wasco dan menyifatkan pemisahan tersebut meningkatkan nilai saham kerana saingan rapatnya, BM Greentech Berhad didagangkan pada penilaian lebih tinggi.
"Kami melihat rancangan ini secara positif kerana ia membuka nilai untuk pemegang saham Wasco," katanya dalam satu nota dan menaikkan penarafan kepada 'outperform' daripada 'market perform'.
Wasco Greenergy mengendalikan perniagaan biojisim dan tenaga wap, manakala Wasco sendiri lebih menumpukan perniagaan dalam kerja penyediaan saluran paip kepada industri minyak dan gas (O&G).
Saham Wasco didagangkan pada pembukaan pasaran dengan meningkat sebanyak dua sen kepada 97 sen dan meraih keuntungan dalam sektor tenaga ketika isu ketegangan Asia Barat yang semakin memuncak.
Pada ketika ini, terdapat empat firma penyelidikan yang memberikan saranan 'beli' dengan dua lagi kepada 'pegang' berikutan peningkatan taraf oleh Kenanga ke atas prospek pertumbuhan baik Wasco.
Harga sasaran (TP) konsensus juga meningkat kepada RM1.33, menurut Bloomberg, yang menggambarkan potensi keuntungan sehingga 39 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang daripada harga semasa.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research dalam nota kajiannya menganggarkan nilai pegangan 62.5 peratus Wasco dalam ekuiti Wasco Greenergy mungkin bernilai kira-kira RM313 juta.
Jumlah unjuran berkenaan kata firma penyelidikan tersebut mewakili lebih 40 peratus kepentingan daripada keseluruhan permodalan pasaran semasa Wasco sendiri sekiranya entiti itu dipisahkan.
Hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) katanya, mungkin akan digunakan kumpulan berkenaan untuk tujuan membiayai pengembangan, terutama loji kuasa wap biojisim, serta operasi di Indonesia.
Selain itu kata HLIB, penerbitan IPO tersebut boleh dimanfaatkan oleh Wasco bagi perbelanjaan modal syarikat di samping melaksanakan inisiatif pendigitalan serta penyelidikan dan pembangunan.
Dalam pada itu, RHB Research menilai prospek penyenaraian Wasco Greenergy itu dijangka mampu untuk meningkatkan kedudukan modal kumpulan berkenaan dan menyokong pertumbuhan jangka masa panjang.
"Kami melihat rancangan pemisahan ini sebagai strategik secara kukuh, dengan pelaksanaan yang berjaya dan kunci penetapan harga untuk membuka kunci nilai penuhnya kemudian," kata firma itu. - DagangNews.com








