Rancangan Crescendo jual tanah industri di Kota Tinggi bernilai RM450 juta disemak semula | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rancangan Crescendo jual tanah industri di Kota Tinggi bernilai RM450 juta disemak semula

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Dis - Crescendo Corporation Berhad (CCB) menyesuaikan kembali rancangannya menjual dua petak tanah industri berkeluasan 36 hektar di Kota Tinggi, Johor bernilai RM449.95 juta.


Kumpulan itu berkata, langkah ini dibuat selepas pembeli hartanah tersebut, Pioneer Real Estate Development Sdn Bhd (PRED) memutuskan untuk tidak meneruskan pembelian salah satu petak berkenaan.


Anak syarikatnya, Crescendo Development Sdn Bhd (CDSB), menerima notis bertulis daripada pembeli itu yang tidak berhasrat membeli petak kedua seluas 20 hektar dianggarkan bernilai RM249.07 juta.


"PRED turut menamatkan perjanjian hak keutamaan (ROFR), dengan CDSB akan perlu memulangkan semula depositnya dalam tempoh lima hari bekerja," kata CCB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Bagaimanapun, kedua-dua pihak akan meneruskan urus niaga bagi petak pertama, melibatkan tanah industri kosong berkeluasan 16 hektar di kawasan sama yang diunjurkan bernilai RM200.88 juta.


CDSB tambah kumpulan berkenaan, akan berusaha untuk mendapatkan kelulusan para pemegang saham bagi proses penjualan tanah itu selepas perjanjian jual beli tersebut dimeterai pada 14 November 2025. 


"Kedua-dua petak, yang terletak bersebelahan, masih belum lagi dibangunkan, dan kumpulan sebelum ini melabur RM9.36 juta untuk petak pertama dan RM11.6 juta untuk petak kedua," jelasnya lagi.


Sebelum ini, CCB menjelaskan bahawa pelupusan tanah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk menjana nilai aset terbiar dan memperkukuh kedudukan kewangannya. 


Hasil jualan tersebut dijangka dapat digunakan untuk kerja pembangunan melibatkan sebanyak RM106.15 juta dan sebahagian daripada pembayaran nota sederhana jangka yang berjumlah RM70 juta.


Syarikat menambah bahawa strategi pengewangan itu menawarkan modal bagi empat projek aktifnya dan memberi fleksibiliti untuk pelupusan tanah atau usaha sama pada masa hadapan. - DagangNews.com