Rakan usaha sama Niche Capital Emas peroleh lesen lombong eksklusif seluas 97 hektar di Jeli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rakan usaha sama Niche Capital Emas peroleh lesen lombong eksklusif seluas 97 hektar di Jeli

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 OktNiche Capital Emas Holdings Berhad mengesahkan rakan usaha sama (JV) syarikat, Enrich Mining Sdn Bhd (EMSB) memperoleh Lesen Melombong Proprietari (PML 3/2025).


Ia diterima daripada Kerajaan Kelantan bagi usaha memajukan tapak perlombongan emas seluas 97.12 hektar di Lubok Bongor, Jeli di negeri berkenaan.


Lesen tersebut dikeluarkan di bawah Enakmen Mineral Negeri Kelantan 2001, membenarkan aktiviti perlombongan di kawasan dikenali sebagai Blok KK Hill dari 4 Ogos 2025 hingga 3 Ogos 2028.

 

 

 

 

 


"Ia melibatkan tanah milik Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan dan dibangunkan secara bersama oleh Niche Capital Mining (Sejana) Sdn Bhd (NCMSSB)," katanya dalam kenyataan.


NCMSSB merupakan anak syarikat milik penuh Niche Capital, bersama EMSB yang 90% dipegang oleh Tekad Mulia Sdn Bhd dan 10% oleh Wan Kamaruddin Biji Sura.


Tokoh perniagaan tempatan berkenaan, juga dikenali sebagai Wan Abdullah, yang pernah menjadi pengarah syarikat tersenarai aitu Sumatec Resources Bhd.


Selaras kelulusan lesen berkenaan, ia mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) seperti dikehendaki di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

 

 

 

 

 


"EMSB turut mendapat sokongan daripada Chan Yok Peng, iaitu pengasas Sumatec dan kini ialah Pengarah Eksekutif Aldrich Resources Berhad," jelasnya.


Projek JV ini diumumkan pada Jun 2025, memberikan EMSB hak eksklusif membangunkan kawasan berpotensi tinggi itu yang terletak di daerah Jeli, yang kaya dengan sumber mineral. - DagangNews.com