KUALA LUMPUR 28 Ogos – QL Resources Berhad kekal komited usaha pengembangan rangkaian kedai serbaneka FamilyMart kepada 600 cawangan menjelang tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY27).
Pengarah Eksekutif Kumpulan, Chia Lik Khai, berkata, kumpulan itu bersedia menangani tekanan kos operasi yang semakin meningkat, dengan sektor runcit terus berhadapan dengan pelbagai cabaran sengit.
Situasi tersebut kata beliau pada sidang akhbar syarikat itu, termasuk kenaikan gaji minimum, peningkatan kos penyewaan premis, serta pelaksanaan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Sentimen pengguna masih lemah, menyukarkan kenaikan kos dipindah kepada pelanggan melalui harga. Fokus kami ialah tawar produk sesuai dengan kehendak pengguna, bukan menaikkan harga,” katanya.
Sehingga tamat FY25 kumpulan berkenaan yang berakhir pada 31 Mac 2025, FamilyMart mempunyai 445 cawangan di seluruh negara, termasuk 215 FamiCafé yang telah berjaya memperoleh pensijilan halal.
Mengulas lanjut, Lik Khai menambah, sekurang-kurangnya 20 cawangan baharu dibuka dalam beberapa bulan lalu dengan pengembangan ini akan dipercepatkan bagi memastikan sasaran FY27 dapat dicapai.
Walaupun margin keuntungan perniagaan runcit berada pada tahap pertengahan satu digit, lebih rendah berbanding margin segmen pembuatan kumpulan, QL Resources tetap melihat potensi dalam FamilyMart.
"Rangkaian premis ini berupaya menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang yang strategik, meskipun pasaran runcit di negara kita semakin kompetitif dengan kemasukan ramai pemain baharu," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Chia Song Kooi, pula menekankan bahawa tarif perdagangan antarabangsa dijangka tidak memberi kesan secara langsung kepada operasi FamilyMart.
Bagaimanapun tambah beliau, ia tetap memberi kesan limpahan kepada ekonomi secara keseluruhan dan apabila ekonomi perlahan akibat penyesuaian tarif, pengguna cenderung mengurangkan perbelanjaan.
Ini katanya, terutama untuk barangan bukan keperluan dan bagi FamilyMart pula, ini bermaksud pembelian produk mungkin berkurangan dan pengguna akan beralih fokus hanya kepada barangan asas.
"Keadaan ekonomi Malaysia dalam fasa stabil kepada sedikit negatif, dan perluasan rangkaian produk serta meneroka peluang baharu penting demi memastikan daya tahan jangka panjang," kata Soong Kooi.
QL Resources katanya, mengekalkan strategi kepelbagaian hasil melalui segmen runcit berasaskan francais, dengan FamilyMart berperanan mengukuhkan kehadiran jenama di peringkat pengguna akhir.
Inisiatif itu kata beliau, selari dengan matlamat kumpulan untuk membina ekosistem perniagaan yang lebih menyeluruh, mapan dan tahan terhadap turun naik ekonomi global. - DagangNews.com








