KUALA LUMPUR 15 Dis – RHB Research memulakan liputan terhadap QES Group Berhad dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran 57 sen, mencerminkan potensi peningkatan 46% daripada paras semasa.
Firma penyelidikan tersebut berkata, penilaian berkenaan disokong oleh faktor pemulihan industri semikonduktor dan perluasan perniagaan pembuatan bernilai tinggi yang dilaksanakan kumpulan itu.
Saham syarikat itu dinilai pada 23 kali nisbah harga kepada keuntungan (P/E) FY26, iaitu diskaun 40% berbanding purata rakan industri, dengan jangkaan hasil dividen sekitar 2% bagi FY26.
"QES kini diniagakan 16 kali P/E FY25, iaitu lebih rendah daripada purata sektor meskipun kadar pertumbuhan pendapatan tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun adalah 15.6%," kata RHB Research.
Menurutnya, ia di kedudukan strategik memanfaatkan kitaran menaik industri semikonduktor global dipacu kecerdasan buatan (AI), dengan jualannya diunjurkan RM3.9 trilion bilion pada pada 2026.
Pendedahan QES kepada segmen peralatan pengeluaran cip dan peralatan ujian automatik, khususnya peralatan bahagian hadapan, serta kehadiran kukuh di ASEAN, dijangka membolehkannya meraih faedah.
Ia berikutan peralihan rantaian bekalan global seperti strategi China Plus One dan Vietnam Plus, dengan RHB Research menjangkakan buku tempahan QES berjumlah RM86 juta akan berkembang pada FY26.
"Ini dipacu oleh pemulihan permintaan semikonduktor, peningkatan kapasiti pembuatan dalam segmen teknologi perubatan (MedTech), dan sumbangan daripada projek kerjasama di China," katanya lagi.
Pengurusan QES sendiri menyasarkan segmen pembuatan menyumbang lebih 30% hasil menjelang FY27 dengan MedTech dikenal pasti sebagai enjin pertumbuhan baharu untuk pengeluar peranti global.
Segmen ini dijangka menjadi penjana utama hasil mulai FY26 dengan sasaran penghantaran 8 hingga 10 peralatan setahun, dan margin keuntungan kasar dianggarkan 50%, antara tertinggi dalam kumpulan.
Selain itu kata RHB Research, QES merancang untuk memperkukuh kehadiran di China melalui tiga projek kerjasama strategik melibatkan rumusan X-ray, mikroskopik dan peralatan pengendalian wafer.
"Dua tempahan projek X-ray dan mikroskopik kini sudah dilaksanakan dengan penghantaran disasarkan pada separuh pertama 2026, manakala projek wafer masih dalam peringkat perancangan," katanya.
Justeru, ia menjangkakan sumbangan hasil awal bermula FY26, dengan pertumbuhan lebih ketara pada FY27, namun memberi amaran risiko termasuk ketidaktentuan tempahan, dan kenaikan kos input.
Situasi berkenaan jelas RHB Research, boleh menekan margin, serta penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat berbanding ringgit yang berpotensi menjejaskan pendapatan. - DagangNews.com








