QES dijangka pulih mulai FY26 dipacu segmen teknologi perubatan – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

QES dijangka pulih mulai FY26 dipacu segmen teknologi perubatan – RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Mac — QES Group Bhd dijangka mencatat pemulihan prestasi kewangan bermula tahun kewangan 2026 dipacu oleh peningkatan sumbangan segmen teknologi perubatan serta pertumbuhan berterusan perniagaan kejuruteraannya, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham syarikat itu dengan harga sasaran baharu sebanyak 57 sen, berbanding 55 sen sebelum ini, yang menunjukkan potensi kenaikan sekitar 49% daripada harga pasaran semasa 38 sen.

 

Menurut firma penyelidikan itu, FY25 dilihat sebagai tahun penyusunan semula yang menandakan titik terendah keuntungan sektor pembuatan QES sebelum pemulihan beransur-ansur mula kelihatan pada suku keempat tahun tersebut.

 

“Peningkatan tempahan dijangka berlaku secara berperingkat bermula FY26, disokong oleh keterlihatan tempahan yang lebih kukuh dalam segmen pembuatan berikutan peningkatan aktiviti teknologi perubatan selain pertumbuhan stabil dalam perniagaan kejuruteraan,” kata firma tersebut dalam nota kajianya.

 

Sehingga akhir Januari 2026, buku tempahan tertunggak QES berjumlah RM108 juta, merangkumi RM84 juta daripada bahagian kejuruteraan dan RM24 juta daripada segmen pembuatan.

 

Paras ini dijangka memberikan keterlihatan hasil yang lebih baik menjelang FY26, terutama apabila aktiviti industri semikonduktor kembali stabil.

 

RHB Research berkata QES turut memperoleh beberapa tempahan pembuatan dari Ireland dan Amerika Syarikat, selain meneruskan perbincangan dengan pelanggan baharu.

 

“Momentum industri semikonduktor yang dijangka pulih menjelang separuh kedua 2026 berpotensi mengukuhkan lagi keterlihatan pendapatan syarikat.

 

“Dalam masa sama, segmen teknologi perubatan dilihat menjadi pemacu utama perubahan struktur dalam perniagaan pembuatan QES.

 

“Pendapatan awal mula dinikmati pada suku keempat FY25 dengan hasil kira-kira RM3 juta, manakala tempahan yang telah diperoleh kini berjumlah RM20 juta,” katanya.

 

Pengurusan syarikat menjangkakan hasil  dari segmen teknologi perubatan mencecah sehingga RM25 juta pada FY26, bersamaan kira-kira 9% daripada unjuran hasil kumpulan bagi tahun tersebut.

 

Selain itu, margin keuntungan kasar bagi segmen berkenaan diunjurkan melebihi 40%, sekali gus meningkatkan margin keseluruhan kumpulan kepada sekitar 25.7%, berbanding 25% pada FY25.

 

Hasil pembuatan pula dijangka antara RM55 juta hingga RM60 juta pada FY26, meningkat ketara berbanding RM30.6 juta pada FY25 serta melepasi paras RM42.1 juta yang dicatatkan pada FY24.

 

Dalam perkembangan lain, syarikat itu juga sedang berbincang secara aktif dengan beberapa pengeluar peralatan China yang tersenarai bagi mewujudkan operasi pembuatan di Malaysia melibatkan peralatan sinar-X, mikroskopi dan pengendalian wafer di kilang Batu Kawan.

 

Perbelanjaan modal bagi projek berkaitan dianggarkan boleh mencecah sehingga RM20 juta sekiranya projek sinar-X tersebut diteruskan.

 

Walaupun pendapatan dalam jangka pendek dijangka terhad, kejayaan kerjasama itu berpotensi meningkatkan kadar penggunaan kilang Batu Kawan serta memperluaskan portfolio pembuatan syarikat dalam jangka sederhana.

 

RHB Research turut menaikkan unjuran keuntungan bagi FY26 hingga FY28 antara 3% hingga 6%, mengambil kira peningkatan keterlihatan tempahan serta sumbangan segmen teknologi perubatan yang mempunyai margin lebih tinggi.

 

Namun begitu, antara risiko penurunan yang dikenal pasti termasuk turun naik tempahan, peningkatan kos input serta kadar pertukaran asing. - DagangNews.com