Putrajaya Holdings buka tender projek Kota Madani bernilai RM4 bilion pada 3Q | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Putrajaya Holdings buka tender projek Kota Madani bernilai RM4 bilion pada 3Q

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Jun — Putrajaya Holdings Sdn Bhd bersedia membuka proses tender bagi pembangunan Kota Madani yang bernilai RM4 bilion di Presint 19, Putrajaya pada suku ketiga tahun ini.

 

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, pembangunan bandar seluas 41.28 hektar itu akan dijalankan di bawah model bina, pajakan, penyelenggaraan dan pemindahan (BLMT).

 

Beliau berkata anggaran kos pembangunan projek itu setakat ini masih RM4 bilion, walaupun angka akhir akan disahkan sebaik pelaksanaan bermula dan ia sejajar dengan matlamat perbandaran negara.

 

 

 

 

 

"Ini adalah projek perumahan kerajaan. Kami tidak akan menjual unit kediaman tersebut kepada orang luar, tetapi pilihan pajakan boleh lagi dipertimbangkan jika ada permintaan," tambahnya.

 

Kota Madani katanya, melangkaui pembangunan kediaman dan disifatkan sebagai inisiatif strategik berimpak tinggi yang direka untuk mengukuhkan kedudukan Putrajaya sebagai bandar bertaraf dunia.

 

 

Madani

 

 

Madani

 



Fadlun berkata, Putrajaya Holdings dilantik sebagai pemaju induk berdasarkan pengalaman luas dan rekod prestasi terbukti dalam membangunkan Putrajaya, yang kini ada lebih 22,000 unit kediaman.

 

Beliau menambah, proses bidaan terbuka secara telus akan dilancarkan dalam beberapa bulan serta mempelawa kontraktor dan penyedia perkhidmatan yang berkelayakan untuk turut mengambil bahagian.

 

Penganugerahan kontrak akan berasaskan merit, dengan penekanan kuat kepada keupayaan teknikal, penyepaduan rumusan mampan, dan penjajaran dengan bandar pintar perbandaran berfokuskan komuniti.

 

Pecah tanah Kota Madani dijadualkan pada 26 Jun 2025, dan secara rasminya memulakan inisiatif transformasi bandar yang bertujuan meningkatkan taraf hidup di ibu kota pentadbiran Malaysia itu.

 

Kota Madani kata Fadlun, dijangka menawarkan 10,000 unit perumahan menegak berketumpatan tinggi yang dibina dalam tiga fasa, menempatkan sehingga 35,000 penduduk apabila disiapkan sepenuhnya.

 

Kawasan berkenaan juga akan menampilkan sistem teknologi dipacu kecerdasan buatan, infrastruktur digital termaju dan rangkaian pilihan mobiliti hijau untuk menyokong gaya hidup rendah karbon.

 

Fasa pertama projek iaitu 1A dan 1B, yang terdiri daripada 3,000 unit kediaman berkepadatan tinggi dan sebuah sekolah lapan tingkat, disasarkan dapat disiapkan menjelang akhir 2027.

 

Presiden Institut Perancang Malaysia, Datin Mazrina Abdul Khalid pula berkata, komponen utama bandar ini kesemuanya dalam kawasan kediaman yang boleh dilalui penduduk dan serba lengkap.

 

 

Madani

 


Perbandaran ini berteraskan visi CHASE (bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam), rangka kerja dasar yang direka bentuk untuk mengubah wilayah itu menjadi bandar mampan boleh didiami.

 

Wawasan tersebut kata beliau, menekankan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, integrasi digital, dan infrastruktur inklusif sebagai asas untuk meningkatkan kualiti hidup bandar.

 

Mazrina berkata pelan induk perbandaran itu mendapat inspirasi warisan seni bina Malaysia, yang menggabungkan identiti budaya dan reka bentuk moden untuk mewujudkan persekitaran hidup sendiri.

 

"Kota Madani melangkaui perumahan konvensional. Ia model berpandangan hadapan untuk pembangunan pintar, dan inklusif terhadap kebolehcapaian, keselamatan dan kesejahteraan holistik," katanya.

 

Sebagai pelengkap kawasan perumahan katanya, kemudahan kritikal seperti klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan masjid akan ditempatkan berdekatan, mengukuhkan tumpuan perbandaran itu.

 

Beliau berkata projek itu menampilkan elemen hijau, termasuk inisiatif cekap tenaga, yang membentuk asas teras dan penanda aras bagi pembangunan bandar di seluruh Malaysia. - DagangNews.com