KUALA LUMPUR 10 Jun — Putera Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, iaitu Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, dilantik menyertai Lembaga Pengarah Citaglobal Berhad.
Kumpulan firma kejuruteraan tersebut berkata, putera berusia 27 tahun yang turut diberikan gelaran sebagai Tengku Arif Bendahara itu akan menjadi Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif dalam lembaga berkenaan.
Ayahandanya, Al-Sultan Abdullah merupakan pemegang saham yang kedua paling besar dalam Citaglobal sendiri dengan baginda menguasai sebanyak 9.72 peratus kepentingan.
Pemegang saham terbesar Citaglobal ialah Pengerusi Eksekutif dan Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, iaitu 32.58 peratus kepentingan, dengan 30.94 peratus dipegang melalui TIZA Global Sdn Bhd.
"Tengku Arif Bendahara memiliki ijazah dalam Pengajian Antarabangsa dari Universiti Buckingham di United Kingdom," menurut firma berkenaan dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Tengku Muhammad Iskandar berkahwin dengan Tengku Natasya Puteri, anakanda Tengku Adnan Tengku Mansor pada 24 Oktober 2024 di Balai Mahkota Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.
Saham Citaglobal pada penutup dagangan petang semalam berakhir setengah sen atau 0.6 peratus lebih rendah pada 84.5 sen, menilai permodalan kumpulan itu pada RM359.55 juta. - DagangNews.com








