KUALA LUMPUR 3 April – KLK Land Sdn Bhd, anak syarikat pemaju hartanah Kuala Lumpur Kepong Bhd sedang membuat persiapan fasa akhir menjelang pembukaan rasmi pusat beli-belah Coalfields Retail Park di Sungai Buloh pada 20 Ogos 2026.
Bangunan itu sudah menerima perakuan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 12 Mac lalu.
Coalfields Retail Park dibangunkan di Bandar Seri Coalfields, sebuah kawasan yang berkembang pesat di utara Lembah Klang.
Pengarah Urusan KLK Land, Lee Wen Ling berkata kawasan ini mempunyai populasi yang semakin meningkat tetapi masih kekurangan pusat beli belah yang menawarkan gaya hidup lengkap.
“Pusat beli-belah ini dengan keluasan keseluruhan pembangunan mencapai satu juta kaki persegi ini dibina sebagai destinasi komuniti yang mesra keluarga, dihiasi pemandangan indah tasik seluas tujuh ekar yang terletak bersebelahannya.
“Kami sedia untuk menawarkan pengalaman membeli belah, rekreasi dan sosial untuk lebih satu juta penduduk dalam radius 20 minit pemanduan dari pusat beli-belah ini, termasuk penduduk dari Sungai Buloh, Kuala Selangor, Puncak Alam, Elmina dan Rawang,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara penyewa utama adalah Village Grocer, Harborland, Serai Seafood, gelanggang luncur ais Blue Ice, Skechers, Decathlon, KKV, Pickle Park, Panda Eyes, Harvey Norman dan Maybank. Kehadiran penyewa ini dijangka menarik pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai restoran dan kafe termasuk McDonald’s, The Social, Canton Boy, La Pane Pizza, Andra by Gula Cakery, Hock Kee Kopitiam, Baskin Robbins dan Fish & Co. Pusat beli-belah ini turut menempatkan jenama runcit lain seperti Daisy by Voir, Bata, Hooga, Tomei dan Big Pharmacy.
Pembangunan ini dihubungkan dengan akses mudah melalui Jalan Kuala Selangor, Guthrie Corridor Expressway dan Kuala Lumpur–Kuala Selangor Expressway, memudahkan pengunjung dari kawasan sekitar untuk mengunjungi pusat beli-belah ini.
Tambahnya, Coalfields Retail Park bukan sahaja menyediakan kemudahan membeli-belah tetapi juga bertujuan menjadi pusat komuniti yang menggalakkan interaksi sosial dan aktiviti riadah, selaras dengan konsep gaya hidup bandar moden.
Bandar Seri Coalfields kini hampir 70 peratus siap dibangunkan. Projek perumahan seperti Walden 2 dan Quinton sedang giat dibina, menambah kepelbagaian jenis kediaman di kawasan ini. Pembangunan perumahan yang berdekatan turut menyokong potensi pengunjung tetap bagi pusat beli-belah ini.
KLK Land mengekalkan tanah seluas 5,000 ekar di kawasan sekitar untuk pembangunan bertahap pada masa akan datang. Langkah ini menunjukkan komitmen syarikat dalam memastikan pertumbuhan jangka panjang Bandar Seri Coalfields sebagai pusat komuniti dan gaya hidup.
Dengan pelbagai penyewa, kemudahan rekreasi dan lokasi strategik, Coalfields Retail Park dijangka menjadi destinasi utama di utara Lembah Klang dan menyediakan pengalaman membeli-belah serta gaya hidup yang lengkap kepada penduduk dan pengunjung.- DagangNews.com








