KUALA LUMPUR 24 April – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan membangunkan sebuah pusat automasi, ujian dan peralatan (ATE) di Batu Kawan bagi memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai peneraju dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.
Projek berkenaan dilihat sebagai langkah strategik untuk menjadikan sektor ATE sebagai pemacu baharu transformasi industri Malaysia pada masa hadapan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan tanah seluas 10 ekar di Batu Kawan, dengan nilai kira-kira RM40 juta melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Menurut beliau, inisiatif tersebut akan diterajui oleh agensi promosi pelaburan negeri, InvestPenang dan akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pelaksanaannya lebih tersusun dan berkesan.
“Bagi fasa pertama, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan platform kerjasama industri termasuk makmal lapangan, program latihan serta laluan penempatan bagi memenuhi keperluan pengeluaran industri.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan industri tempatan dapat menyesuaikan diri dengan kehendak teknologi semasa serta meningkatkan keupayaan dalam rantaian bekalan global.
“Sementara itu, fasa kedua akan menumpukan kepada pembangunan ekosistem bersepadu yang diilhamkan daripada model Brainport Industries Campus, dengan menghimpunkan pembekal berkelayakan di bawah standard bersama,” katanya.

Hab tersebut dijangka mewujudkan ekosistem pembuatan yang lebih tersusun dan diyakini syarikat global, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan termaju di rantau ini.
Menurut Chow lagi, platform itu akan membolehkan syarikat ATE tempatan, syarikat multinasional serta rakan industri bekerjasama dalam pembangunan, integrasi dan pengesahan rumusan pembuatan.
“Pengeluar global akan dapat menjalankan peralihan daripada peringkat percubaan kepada pengeluaran berskala besar dalam satu persekitaran yang lebih terkawal, sekali gus mengurangkan risiko pelaksanaan.
“Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam membangunkan beberapa elemen penting termasuk program latihan dan kemudahan makmal berkongsi di bawah Penang ATE Campus.,” katanya.
Dalam masa yang sama, Pulau Pinang turut memperoleh geran padanan persekutuan sebanyak RM50 juta bagi inisiatif Penang Silicon Design @5km+, dan dijangka menerima sokongan berterusan bagi pembangunan hab ATE tersebut.
Pada majlis pelancaran itu juga, sebanyak 11 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat multinasional dan InvestPenang bagi memacu projek perintis serta usaha penyetempatan industri.
Selain itu, Peta Keupayaan ATE Pulau Pinang turut diperkenalkan bagi menonjolkan kekuatan tempatan dalam pelbagai segmen termasuk semikonduktor, pembungkusan termaju, EMS/ODM serta sektor medtech.
Pembangunan hab ATE di Batu Kawan ini dijangka menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh ekosistem semikonduktor dan pembuatan termaju Malaysia, selain meningkatkan daya saing negara di peringkat global. - DagangNews.com








