IPOH 6 Mac - Bermula Ogos lalu, Politeknik Ungku Omar (PUO) telah dijadikan sebagai hab termaju dalam pembangunan dan inovasi berkaitan AI menerusi penubuhan Centre for Applied Artificial Intelligence Technology (CAAiT)@POLYCC.
Inisiatif Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) ini bagi memastikan tenaga kerja yang bakal dihasilkan nanti mahir dalam bidang AI.
Hab ini menumpukan kepada teknologi AI melalui penyelidikan, kolaborasi, perkongsian ilmu dan etika siber.
Buat masa ini CAAiT telah melaksanakan beberapa lawatan penanda aras ke pusat AI di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kursus berkaitan AI kepada tenaga pengajar PUO.
Timbalan Pengarah Akademik PUO, Norman Zamri berkata, ketika ini PUO mempunyai 15 pensyarah yang memiliki Sarjana Teknologi Maklumat (pengkhususan AI) dan menghadiri kursus profesional berkaitan Big Data.

Bagaimana pun katanya, seiring perkembangan pantas teknologi berkaitan AI, keperluan untuk menyertai kursus-kursus profesional yang berkaitan amat diperlukan.
“Terbaru, kita telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pameran dan Pusat Data Guangxi Hande Group Co. Ltd., sebuah syarikat terkemuka dalam pembangunan teknologi AI di Nanning, China.
“Lawatan strategik ini bertujuan memahami kemajuan terkini dalam teknologi AI serta membuka ruang kepada kerjasama dalam aspek latihan dan penyelidikan.
“Kolaborasi tersebut mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujarnya kepada DagangNews.
Delegasi PUO berpeluang meninjau secara langsung operasi syarikat tersebut yang memimpin dalam inovasi AI, melibatkan sektor pembuatan, pertanian, automasi dan pendidikan.


Teknologi yang dipamerkan turut memberi inspirasi kepada PUO dalam menerapkan pendekatan baharu bagi memperkasakan pendidikan TVET di Malaysia.
Turut dilawati ialah Guangxi University, Guangxi Vocational and Technical College of Finance, serta Guangxi Vocational and Technical College of Industry.
Jelas Norman, perbincangan yang diadakan memberi peluang kepada PUO untuk meneroka model pembelajaran serta infrastruktur sokongan pendidikan AI yang diterapkan di institusi-institusi ini.
“Ketika ini subjek pengenalan kepada AI ditawarkan sebagai kursus elektif kepada pelajar semester 3 Program Diploma Kewangan bermula Ogos ini.
“Bagi program pengajian di Jabatan Teknologi Maklumat, beberapa subjek dimasukkan bab berkaitan AI dan telah ditawarkan sejak 2024.
“Sehubungan itu, kerjasama dengan entiti antarabangsa seperti Hande Group Co. Ltd. dan institusi pendidikan di China membuka ruang kepada PUO untuk membawa teknologi AI ke dalam bilik darjah.
“Teknologi AI bukan sekadar alat bantu pembelajaran tetapi pemacu transformasi dalam kaedah pengajaran, menjadikan proses pembelajaran lebih efisien, interaktif dan relevan dengan keperluan industri semasa,” ujarnya. - DagangNews.com







