Pulangan saham sektor telekomunikasi Malaysia naik 6% YTD, kedua terbaik di ASEAN - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pulangan saham sektor telekomunikasi Malaysia naik 6% YTD, kedua terbaik di ASEAN - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Sept – Saham pelbagai syarikat telekomunikasi Malaysia mencatatkan prestasi yang cemerlang dengan merekodkan pulangan sekitar 6% setakat tahun ini (YTD), menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan berkenaan menjadikan negara ini sebagai kedua terbaik di rantau Asia Tenggara, hanya ketinggalan di belakang Singapura yang mencecah 18%.


Malaysia tambahnya, mengatasi Indonesia (+5.3%) dan Thailand (+1.5%), yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek sektor itu walaupun berdepan tekanan pendapatan dan persaingan harga.


"Time dotCom muncul sebagai peneraju prestasi harga saham dengan lonjakan sebanyak 19% YTD," kata RHB Research dalam laporan terkini sektor telekomunikasi bagi tempoh suku kedua 2025 (2Q25).


Ia tambah firma itu, diikuti oleh Axiata Group (+12%) berikutan pemulihan kukuh dalam tiga bulan kebelakangan ini, manakala Telekom Malaysia Berhad (TM) turut menunjukkan prestasi positif (+9%).


Bagaimanapun saham Maxis dan CelcomDigi kekal mendatar 1% hingga 2%, tetapi secara keseluruhan, 
di sebalik pendapatan masih lemah, kawalan kos ketat membolehkan perolehan kasar terus kukuh.


RHB Research masih mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi tempatan dengan majoriti syarikat melaporkan keputusan suku kedua dan separuh pertama 2025 yang menepati jangkaan.


"Hanya CelcomDigi dan penyedia infrastruktur rangkaian telekomunikasi, OCK Group Berhad mencatat keputusan lemah serta Maxis yang sedikit mengatasi unjuran awal,” jelas firma penyelidikan itu.


Pilihan utamanya kekal kepada TM, Axiata dan dan CelcomDigi. Sementara itu, hasil perkhidmatan mudah alih turun 1.2% tahun ke tahun (YoY) pada 2Q25 akibat tekanan purata hasil pengguna (ARPU).


Ia kata RHB Reserach, didapati merosot 1.5% berikutan konsolidasi SIM dan persaingan harga, tetapi sektor ini tetap menunjukkan disiplin kos yang baik perolehan kasar keseluruhan naik 1% YoY.


Maxis menyerlah dengan pertumbuhan 5%, menyumbang 44.1% kepada jumlah sektor. Dalam pada itu, kos akses 5G bagi pengendali kekal stabil sekitar RM55 juta, meskipun peningkatan 45% dalam langganan.


"Pendapatan jalur lebar tetap industri susut 3.3% YoY, didorong penurunan 4.7% dalam pendapatan internet runcit TM, dipengaruhi oleh persaingan harga dan promosi yang menekan margin," katanya.


Sebaliknya, Maxis, Time dotCom dan CelcomDigi mencatat pertumbuhan positif antara 3% hingga +9% suku ke suku dalam segmen jalur lebar rumah, didorong peluasan rangkaian dan strategi produk.


RHB Research bagaimanapun turut menurunkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 bagi Axiata, CelcomDigi, Maxis, dan OCK selepas keputusan suku tahunan yang lemah dan impak kadar tukaran asing


Secara agregat, pendapatan teras sektor ini meningkat 11% YoY pada 2Q25, dipacu pertumbuhan dalam kedua-dua segmen mudah alih (+9.8%) dan tetap (+12.8%), ddengan dibantu pengurangan susut nilai.


"Walaupun sektor ini berdepan pelbagai cabaran struktur, prestasi harga saham yang kukuh serta daya tahan perolehan mencerminkan asas fundamental masih stabil," katanya. - DagangNews.com