KUALA LUMPUR 23 Dis - Nilai ringgit berpotensi mencapai paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun pada 2026, disokong oleh faktor jangkaan dolar Amerika Syarikat (AS) yang berterusan lemah.
Menurut Public Investment Bank, perkembangan positif itu susulan pelonggaran dasar monetari oleh Rizab Persekutuan, dengan ringgit boleh teguh sehingga RM4.00 berbanding setiap dolar AS.
Firma penyelidikan itu berkata, mata wang tempatan tersebut berpotensi menembusi paras berkenaan menjelang separuh kedua 2026, selepas kali terakhir berada pada paras RM4.00 ialah Jun 2018.
“Kami mengekalkan pandangan konstruktif terhadap ringgit untuk tempoh 12 bulan akan datang,” katanya, sambil mengakui pengukuhan itu bukan sahaja bergantung kepada isu kelemahan dolar AS.
Sebaliknya jelas PublicInvest, mata wang berkenaan juga bersandarkan faktor domestik termasuk isu pelaburan direalisasikan, penerimaan sektor perkhidmatan serta pelaksanaan fiskal yang berwibawa.
Setakat tahun ini, ringgit mengukuh lebih 9% berbanding dolar AS, sekali gus muncul antara mata wang dengan prestasi terbaik di Asia pada 2025. Ketika ini, ringgit diniagakan sekitar paras 4.09.
Dalam perkembangan berkaitan, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada semakan terakhir November 2025 dan dijangka mengekalkan pendirian sepanjang 2026.
"Unjuran itu disokong oleh pertumbuhan ekonomi domestik dan luaran yang mampan, dengan pengukuhan ringgit dijangka memberi banyak manfaat kepada pengimport bahan mentah," kata PublicInvest lagi.
Pengurangan kos input akibat kekuatan ringgit jelasnya, boleh meningkatkan margin keuntungan, dan antara syarikat tempatan yang dijangka mampu mendapat kelebihan tersebut ialah Spritzer Berhad.
Pengeluar pelbagai produk minuman berkenaan tambah firma berkenaan, mencatatkan import bahan mentah yang menyumbang kira-kira 50% hingga 70% daripada jumlah kos barangan dijual di pasaran.
Selain itu, peningkatan aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 turut dijangka menyokong permintaan air botol, sekali gus memberi rangsangan tambahan kepada prestasi syarikat.
"Kami turut berpandangan CCK Consolidated Holdings Berhad berpotensi menerima kesan positif, memandangkan sekitar 20% hingga 30% kos jualannya itu dalam dolar AS," jelasnya. - DagangNews.com








