PublicInvest letak sasaran EI Power 56 sen, premium 16.7% berbanding harga IPO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest letak sasaran EI Power 56 sen, premium 16.7% berbanding harga IPO

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Mei – Public Investment Bank menetapkan nilai saksama RM0.56 bagi EI Power Bhd berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM0.48 sesaham yang menawarkan potensi pulangan sekitar 16.7% kepada pelabur menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 21 Mei 2026.

 

EI Power adalah syarikat kejuruteraan yang terlibat dalam perkhidmatan EPCC (kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan) bagi sistem kuasa termasuk menyediakan perkhidmatan kuasa misi kritikal, konvensional serta tenaga boleh baharu.

 

Firma penyelidikan itu berkata segmen misi kritikal syarikat memberi tumpuan kepada sistem bekalan kuasa untuk pusat data dan fasiliti penting yang memerlukan tahap kebolehpercayaan tinggi, termasuk sistem bekalan sandaran berasaskan diesel dengan keupayaan redundansi serta pentauliahan yang memenuhi piawaian pusat data Tier III dan Tier IV.

 

“EI Power mempunyai 16 tahun rekod prestasi dalam industri dengan 146 projek siap bernilai RM188.2 juta serta buku tempahan tertunggak sekitar RM99.9 juta setakat Mac 2026.

 

“Syarikat turut merekodkan perubahan struktur pendapatan yang ketara, dengan segmen misi kritikal meningkat daripada 21.3% pada FY2022 kepada 86.3% pada FY2025, sejajar dengan pertumbuhan pesat projek pusat data.

 

“Dalam tempoh sama, margin keuntungan kasar syarikat turut berkembang daripada 16.4% kepada 40.1%, disokong oleh peralihan kepada projek bernilai lebih tinggi serta fasa pelaksanaan seperti pemasangan, ujian dan pentauliahan,” kata PublicInvest dalam nota kajiannya.

 

Namun, sumbangan segmen konvensional dan tenaga boleh baharu masing-masing menurun kepada 6.9% dan 6.8%, mencerminkan fokus lebih besar kepada projek pusat data berskala besar.

 

Dari segi kewangan, pendapatan EI Power meningkat daripada RM50.4 juta pada 2024 kepada RM77.4 juta pada 2025, manakala keuntungan bersih naik kepada RM19.3 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: EI Power sasar kumpul RM78 juta menerusi IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Syarikat juga mencatatkan pulangan ekuiti (ROE) tinggi sehingga 97.6% pada 2025, sebelum dijangka ke paras normal kepada sekitar 20% ke 24% dalam tempoh ramalan akan datang.

 

Selepas IPO, nisbah gearing syarikat dijangka menurun ketara daripada 0.37 kali kepada 0.09 kali, dipacu oleh kemasukan dana baharu.

 

Hasil IPO akan digunakan untuk pembinaan ibu pejabat dan gudang baharu di Shah Alam, pelaburan sistem kecekapan tenaga bangunan, pembukaan operasi di Thailand serta Johor, dan modal kerja syarikat.

 

Selain itu, EI Power turut merancang memasuki segmen penyelesaian kecekapan tenaga berasaskan model kontrak jangka panjang 10 hingga 15 tahun, yang menjana pendapatan berulang melalui penjimatan tenaga.

 

PublicInvest Research menjangkakan keuntungan syarikat akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 14.3% bagi tempoh tiga tahun akan datang, disokong oleh permintaan pusat data serta projek infrastruktur berkaitan.

 

Dalam masa sama, syarikat turut mempunyai pendedahan kepada pasaran serantau apabila merancang pengembangan ke Thailand dengan beberapa tender bernilai kira-kira RM75.3 juta telah dikemukakan.

 

Bagaimanapun, risiko utama pelaburan termasuk kebergantungan kepada kitaran industri pusat data dan pembinaan, persaingan sengit dalam sektor EPCC serta kebergantungan kepada tenaga kerja asing bagi pelaksanaan projek.

 

“EI Power dilihat berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat industri pusat data di Malaysia dan rantau ini, namun prestasi masa depan tetap bergantung kepada pelaksanaan projek berskala besar serta keadaan kitaran industri,” katanya. - DagangNews.com