KUALA LUMPUR 21 April – Public Bank Bhd berkemungkinan mengumumkan dividen khas pada masa akan datang susulan perubahan rangka kerja kecukupan modal bank di bawah Basel 3.1, yang dijangka memberi ruang tambahan kepada modal institusi perbankan tersebut, kata CIMB Securities.
Rangka kerja baharu itu dijangka berkuat kuasa pada separuh kedua 2026 dan akan memberi kesan positif kepada kedudukan modal bank-bank di bawah kategori Standardised Approach (kaedah standard pengiraan risiko) termasuk Public Bank.
Perubahan tersebut dijangka meningkatkan kecekapan modal melalui pengurangan ketumpatan aset berwajaran risiko (RWA) serta keperluan wajaran risiko yang lebih rendah, sekali gus mewujudkan lebihan modal bagi bank terlibat.
CIMB Securities berkata lebihan modal tersebut berpotensi membolehkan Public Bank mengagihkan pulangan tambahan kepada pemegang saham dalam bentuk dividen khas, di samping dasar pembayaran dividen sedia ada.
Ketika ini, Public Bank mengekalkan dasar pembayaran dividen sekitar 60 peratus daripada keuntungan, namun sebarang dividen khas dijangka diberikan secara tambahan bergantung kepada kedudukan modal selepas pelaksanaan rangka kerja baharu.
Firma penyelidikan itu turut menegaskan walaupun pihak pengurusan tidak memberikan panduan khusus mengenai masa pelaksanaan dividen khas, peningkatan ruang modal hasil Basel 3.1 adalah dijangka menjadi pemangkin utama.
Selain itu, Public Bank dijangka memperincikan pelan pengurusan modal yang lebih menyeluruh pada separuh kedua 2026 selepas rangka kerja kecukupan modal baharu itu berkuat kuasa sepenuhnya.
Dari sudut penilaian saham, CIMB Securities menjangkakan saham Public Bank akan terus diniagakan pada premium sekitar 1.4 kali nisbah harga kepada nilai buku bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Sementara itu, cadangan program pembelian balik saham sehingga 10 peratus daripada jumlah saham terbitan turut dilihat sebagai langkah menyokong kestabilan harga saham serta meningkatkan pulangan kepada pemegang saham.
Program pembelian balik tersebut melibatkan sehingga 1.94 bilion saham dan telah memperoleh kelulusan Bank Negara Malaysia, dengan kelulusan pemegang saham akan dimuktamadkan dalam mesyuarat agung luar biasa akan datang.
Pembelian balik itu akan dibiayai sepenuhnya melalui keuntungan tertahan, dengan anggaran kos sekitar RM9 bilion berdasarkan harga pasaran semasa, mencerminkan kekuatan kedudukan modal bank.
Saham yang dibeli semula boleh dibatalkan, disimpan sebagai saham perbendaharaan untuk dijual semula, atau diagihkan sebagai dividen, memberikan fleksibiliti kepada bank dalam pengurusan modal dan pulangan pemegang saham.
Dalam perkembangan berkaitan, pelupusan mandatori pegangan saham Public Bank dalam LPI Capital Bhd yang dipegang melalui entiti berkaitan turut dikenal pasti sebagai pemangkin tambahan kepada potensi pengagihan nilai.
Tarikh akhir pelupusan tersebut ditetapkan pada 3 Jun 2026, tertakluk kepada sebarang lanjutan, dan proses pengewangan pegangan berkenaan berpotensi membuka ruang kepada pembayaran dividen khas pada separuh kedua 2026, walaupun masanya masih belum dipastikan. - DagangNews.com








