PTT Synergy raih kontrak Fasa 1 Bandar Bukit Raja bernilai RM35.88 juta daripada Sime Darby Property | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PTT Synergy raih kontrak Fasa 1 Bandar Bukit Raja bernilai RM35.88 juta daripada Sime Darby Property

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 DisPTT Synergy Group Berhad melalui anak syarikat miliknya, Pembinaan Tetap Teguh Sdn Bhd (PTTSB) memperoleh kontrak Sime Darby Property (BBR Business Park) Sdn Bhd.


Tender tersebut katanya, bagi pembinaan dan penyempurnaan serta kerja-kerja tambahan untuk Fasa 1 Pakej 3 (i30-1, i30-2 & i30-5), di Bandar Bukit Raja Peringkat 4, Mukim Kapar, Klang, Selangor.


Kontrak ini bernilai RM35,879,536.80, dengan tarikh serahan awal pada 18 Disember 2025, manakala pengambilalihan bermula 5 Januari 2026, dan dijangka siap sepenuhnya pada 4 September 2027.


"Ia adalah dalam urusan perniagaan biasa PTT Synergy, dijalankan secara bebas dan berdasarkan terma komersial yang setara dengan pasaran umum," maklum kumpulan itu kepada Bursa Malaysia. 


Selain itu jelasnya lagi, tender tersebut diyakini tidak akan menjejaskan modal saham, pegangan pemegang saham utama, atau aset bersih syarikat berkenaan untuk tahun kewangan 2026 hingga 2028.


Bagaimanapun tambah syarikat pembinaan dan kejuruteraan yang ditubuhkan ada 2002 serta beribu pejabat di Kuala Lumpur, kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil kumpulan.


Pada masa yang sama, ia menyatakan sebarang risiko utama sepanjang kerja-kerja adalah risiko operasi biasa, dengan langkah-langkah pencegahan awal sudah diambil oleh syarikat berkenaan.


"Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dalam PTT Synergy yang mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak baharu ini," katanya lagi.


Di samping itu jelasnya, lembaga pengarah menegaskan bahawa pelaksanaan tender tersebut adalah dalam kepentingan terbaik kumpulan. - DagangNews.com