KUALA LUMPUR 3 April — PTT Synergy Group Berhad memperoleh kontrak terbaharu yang bernilai RM31.68 juta bagi kerja-kerja tanah dan kerja berkaitan di Bandar Bukit Raja, Daerah Klang, Selangor.
Surat penganugerahan (LOA) tender berkenaan diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Pembinaan Tetap Teguh Sdn Bhd (PTTSB) daripada Sime Darby Property (Bukit Raja) Sdn Bhd pada 3 April 2026.
Kumpulan tersebut berkata, kontrak kali ini melibatkan cadangan pembinaan dan penyiapan kerja tanah serta kerja sampingan untuk kawasan kediaman Fasa 5A (R17), Peringkat 3 Bandar Bukit Raja.
"Lokasi projek ini di Mukim Kapar, dengan tarikh prapemilikan sudah bermula 3 April 2026, manakala pemilikan tapak itu dijadualkan pada 17 April 2026," maklum PTT Synergy kepada Bursa Malaysia.
Kerja-kerja pembinaan pula jelas kumpulan berkenaan, dijangka siap sepenuhnya menjelang 16 Oktober 2027, manakala bagi komponen R17A dijadualkan dapat disiapkan lebih awal pada 16 Ogos 2027.
Menurutnya, kontrak itu adalah dalam urusan biasa perniagaan, dilaksanakan secara telus pada terma komersial setara pasaran dan tidak memberi kesan kepada modal saham serta pegangan pemegang saham.
Bagaimanapun tambah PTT Synergy, kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan itu sepanjang tempoh pelaksanaan projek berkenaan.
"Selain itu, tiada sebarang risiko luar jangka dikenal pasti kecuali risiko operasi biasa dalam industri pembinaan, dan langkah mitigasi akan dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya.
Di samping itu jelasnya, pihak Lembaga Pengarah kumpulan tersebut berpandangan penerimaan kontrak berkenaan adalah dalam kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com








