PRYME+, VitaNova bekerjasama perkenalkan VAPI, platform pasaran pintar berasaskan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PRYME+, VitaNova bekerjasama perkenalkan VAPI, platform pasaran pintar berasaskan AI

PENGARAH Eksekutif VitaNova Sdn Bhd, Eugene (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif PRYME Data Technologies Ltd, Datuk Maxx Saw (dua dari kanan).
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Okt - Syarikat inovasi pemasaran dan penjenamaan strategik, PRYME+ menjalin kerjasama dengan firma pengedar langsung yang berlesen, VitaNova Sdn Bhd melancarkan VAPI.


Ia merupakan sebuah platform pasaran pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membantu pengguna mencari produk dengan mudah sambil mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.


Menurut PRYME+ dalam satu kenyataan, platform terbaharu diperkenalkan berkenaan dibina dengan berasaskan kepada tiga prinsip utama iaitu pematuhan, pemerkasaan teknologi, dan pertumbuhan bersama. 


"Matlamatnya untuk membawa pengalaman beli-belah baharu kepada rakyat dengan gabungan cadangan produk berasaskan AI dan teknologi penglibatan komuniti bersama kerangka jualan langsung berlesen di Malaysia," katanya.


Setiap produk yang disenaraikan di platform ini melalui proses semakan kawal selia yang betul bagi memastikan semua urusan jualan, pemasaran dan sistem ganjaran mematuhi piawaian yang ditetapkan.


Pendekatan tersebut jelas PRYME+, memastikan ekosistem runcit yang selamat, adil dan telus, serta menjamin akauntabiliti dalam setiap peringkat.


Ciri pintar dalam VAPI menganalisis keutamaan pengguna untuk mencadangkan produk yang sesuai dan meningkatkan interaksi pengguna. 

 

Pryme
DATUK Maxx Saw berkongsi bagaimana kerjasama dimeterai kedua-dua syarikat itu akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak berkepentingan.

 

"Platform ini juga menggalakkan para pengguna di Malaysia untuk berkongsi dengan orang lain dan memperoleh ganjaran melalui rujukan," kata syarikat tersebut. 


Ia adalah cara mudah untuk mengembangkan komuniti dengan apabila lebih banyak individu menyumbang, lebih banyak individu berkenaan menerima manfaat.


PRYME+ menambah, dengan menggabungkan alat AI pintar dan ciri sosial, platform ini membantu perniagaan berhubung dengan pelanggan mereka dengan lebih berkesan dan mampan.


Seiring dengan kerjasama berterusan antara PRYME+ dan VitaNova, lebih banyak jenama berkualiti dan produk inovatif akan ditambah ke dalam platform tersebut.


"Kedua-dua rakan kongsi ini komited untuk melakukan sesuatu dengan cara yang betul, kekal inovatif dan mencipta peluang untuk semua," jelas kenyataan syarikat itu lagi.


Mereka turut bekerjasama dalam membina ekosistem perniagaan pintar generasi baharu yang menyatukan teknologi, manusia dan peluang.


VAPI berfungsi sebagai saluran perniagaan yang stabil dan mampan untuk usahawan dan peniaga, menyediakan pengalaman membeli-belah moden, patuh dan bermanfaat bagi era digital.


Pengguna boleh melayari laman web https://prymeplus.ai/ untuk keterangan lanjut. - DagangNews.com