Prudential PLC dari Britain kini pegang 5.78% kepentingan dalam Binastra | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prudential PLC dari Britain kini pegang 5.78% kepentingan dalam Binastra

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 OktBinastra Corporation Berhad menerima notis pemegangan saham daripada Prudential PLC dari Britain, yang kini menguasai 5.779% kepentingan langsung dalam syarikat itu.


Kata kumpulan berkenaan, pegangan ekuiti tersebut bersamaan sebanyak 63.07 juta unit saham biasa dengan Prudential PLC berjaya meraih tambahan kira-kira 9.74 juta saham pada 29 September 2025.


Pemerolehan itu dilakukan masing-masing melalui dua pengurus dana milik Prudential PLC, Eastspring Investments Berhad (7.32 juta saham) dan Eastspring Al-Wara' Investments Berhad (2.42 juta saham).


"Kedua-dua entiti berkenaan bertindak sebagai pemegang saham berdaftar dan menguruskan dana bagi pihak Prudential PLC," kata Binastra dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Susulan transaksi itu, pegangan keseluruhan menyaksikan Eastspring Investments Berhad dengan 53.28 juta saham, manakala Eastspring Al-Wara' Investments Berhad pula 9.79 juta saham.


Kesemua pegangan tersebut jelas kumpulan berkenaan, dinyatakan sebagai kepentingan langsung, dengan tiada sebarang kepentingan tidak langsung yang dimaklumkan oleh Prudential PLC.


Syarikat perkhidmatan kewangan multinasional bertaraf antarabangsa yang berpangkalan di London, United Kingdom itu ditubuhkan pada 1848, dengan operasi mantap di pasaran Asia dan Afrika.


Ia memberi tumpuan kepada insurans hayat dan perlindungan kepada pelanggan individu, pengurusan pelaburan dan dana serta rumusan kewangan jangka panjang termasuk produk simpanan dan persaraan.


Notis perubahan mengenai pegangan tersebut yang bertarikh 2 Oktober 2025, sudah diterima oleh syarikat berkenaan pada hari yang sama. - DagangNews.com