KUALA LUMPUR 13 April — Risiko kekurangan bahan mentah yang meningkat kini menjadi ancaman utama kepada para pengeluar sarung tangan Malaysia, termasuk Supermax Corporation Berhad sendiri.
RHB Research dalam nota analisisnya hari ini berpandangan, situasi itu sekali gus menekan prospek keuntungan dan mengehadkan potensi kenaikan harga jualan purata (ASP) terhadap produk berkenaan.
Sehubungan itu, ia menurunkan penarafan kumpulan tersebut kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’, tetapi harga sasaran (TP) baharu 36 sen berbanding 34 sen, yang mencerminkan ada potensi kenaikan sekitar 8%.
"Pengeluar sarung tangan tempatan berdepan risiko yang lebih tinggi terhadap gangguan bekalan bahan mentah berikutan kebergantungan kepada import, berbanding pesaing di China," jelas firma tersebut.
Negara itu ujar RHB Research, kekal sebagai penentu harga global, namun Supermax dilihat masih lagi mempunyai kelebihan relatif menerusi fasiliti pengeluarannya di Texas, Amerika Syarikat (AS).
Jelas firma penyelidikan berkenaan, kemudahan tersebut menawarkan kos bahan mentah untuk nitril butadiena lateks yang lebih rendah, dianggarkan AS$557 (RM2,212) setiap tan berbanding di Asia.
Tambahnya, walaupun kelebihan dari segi kos ini dilihat sebagai positif, impaknya masih bergantung kepada kelajuan peningkatan kapasiti operasi di fasiliti tersebut sebelum memasuki pasaran dunia.
"Selain itu, kapasiti pengeluaran Supermax di AS merangkumi kira-kira 20% memberikan perlindungan terhadap isu gangguan logistik serta sejajar dengan dasar ‘Buy American’," kata RHB Research lagi.

Justeru, ia berpandangan risiko sektor kini cenderung ke arah penurunan berikutan lebihan bekalan berterusan di pasaran global, khususnya dengan pengeluar China terus mendominasi penetapan harga.
Ujarnya, pengeluar Malaysia berdepan tekanan berganda apabila kekangan bahan mentah mengehadkan pengeluaran, manakala kenaikan ASP pula dihadkan oleh persaingan dan kesan penggantian produk.
Di samping itu tambah RHB Research, walaupun memang berlaku isu pengurangan bekalan secara ketara di pasaran antarabangsa, potensi kenaikan sektor sarung tangan adalah kekal terhad dan tidak luas.
"Bagaimanapun, ada potensi sokongan daripada perkembangan dasar AS, termasuk siasatan Seksyen 232 terhadap peralatan perlindungan perubatan yang dijangka diputuskan sekitar Mei 2026," jelasnya.
Langkah itu berpotensi meningkatkan tarif keselamatan nasional, selain penguatkuasaan lebih ketat dasar ‘Buy American’ yang meningkatkan permintaan domestik terhadap fasiliti Supermax di Texas.
Dari segi unjuran, RHB Research menjangkakan kerugian teras kumpulan berkenaan sebanyak RM72 juta bagi tahun kewangan 2026, sebelum beransur pulih kepada keuntungan RM38 juta menjelang 2028.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan kenaikan ASP sarung tangan nitril dalam tempoh jangka pendek sebelum situasi pasaran kembali normal menjelang separuh kedua tahun kewangan 2027 (FY27).
"Kadar penggunaan kapasiti yang masih rendah namun kekal menjadi faktor utama dan dilihat terus menekan prestasi kewangan syarikat berkenaan untuk dapat mencatatkan keuntungan besar," tambahnya.
Secara umum, Supermax ada kelebihan strategik di pasaran AS, dengan cabaran lebihan stok global dan kekangan bahan mentah dijangka terus mengekang potensi pemulihan terdekat. - DagangNews.com








