KUALA LUMPUR 8 Okt – Maybank Investment Bank kekal berhati-hati terhadap prospek pasaran hartanah di Britain hasil lawatan ke tapak lapangan dilaksanakannya selama lima hari pada awal September 2025.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia melibatkan sebanyak sembilan projek pembangunan yang diuruskan oleh pelbagai syarikat Malaysia di sekitar ibu kota London, selain Welwyn Garden City dan Bristol.
Katanya, segmen pejabat bertaraf 'Green Premium' terus mencatat permintaan kukuh, dipacu keutamaan amalan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta trend kembali bekerja ke pejabat.
"Sebaliknya, pasaran kediaman di negara tersebut dilihat masih lagi kekal mencabar, didorong oleh risiko dasar dan peningkatan kos pematuhan," kata Maybank IB dalam satu nota kajiannya hari ini.
Permintaan terhadap bangunan pejabat mampan jelas firma itu, dijangka terus menyokong pertumbuhan penyewaan pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 5.5% dari 2025 hingga 2029.
Bagaimanapun, ia menyatakan keyakinan terhadap tiga projek utama yang dibangunkan oleh syarikat Malaysia antaranya 75 London Wall, iaitu projek pejabat yang dimiliki 75% oleh Gamuda Berhad.
Pembangunan hartanah berkenaan kata Maybank IB, dijangka siap pada tempoh suku pertama 2028, dan didapati sudah menunjukkan prospek positif dengan jangkaan banyak penyewaan sebelum siap dibina.
"Selain itu, 25 Finsbury Circus dimajukan IJM Corporation Berhad berjaya meraih penyewa utama iaitu firma guaman antarabangsa Simmons & Simmons LLP dengan kontrak sewaan selama 20 tahun," katanya.

Penyewa ini jelasnya, akan menduduki 62% daripada bangunan dengan opsyen sehingga 80%, manakala satu lagi projek melibatkan Brabazon, North Bristol yang dimajukan YTL Power International Berhad.
Hartanah bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) £5.2 bilion (RM29.4 bilion) itu menampilkan potensi pertumbuhan tinggi, terutama dengan rangsangan pekerjaan dan permintaan perumahan pelajar.
"Kami namun memberi amaran yang kesemua projek ini memerlukan pandangan jangka panjang, dengan sumbangan kepada pendapatan hanya akan mula ketara dalam tempoh lebih tiga tahun," kata Maybank IB.
Pengiktirafan keuntungan pula jelas firma tersebut, hanya berlaku apabila unit itu mula diserahkan, dengan pengurusan aliran tunai dan pelaksanaan projek hartanah perlu ditangani secara berhemah.
EWI Capital Berhad dijangka kekal masih kerugian jangka pendek kerana tiada pelancaran projek luar negara dalam masa terdekat, dengan fasa seterusnya di Battersea Power Station belum dimuktamadkan.
Keadaan itu kata Maybank IB, dijangka terus menekan prestasi kewangan dengan syarikat tersebut menilai potensi menjual baki tanah setelah menerima kelulusan pelan bangunan yang disemak semula.
"Dalam pada itu, SP Setia Berhad dilihat mengambil pendekatan konservatif dengan strategi hanya melancarkan projek hartanah baharu di Britain apabila terdapat permintaan yang jelas," jelasnya.
Situasi itu berbeza daripada IJM yang lebih agresif melalui peluasan portfolio dalam sektor pejabat, hotel dan kediaman secara kerjasama strategik bagi mengurangkan risiko dan modal awal.
Maybank IB mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor hartanah London secara keseluruhan, namun memberi saranan 'beli' ke atas dua kaunter utama iaitu EWI Capital dan UEM Sunrise Berhad.
Prospek hartanah di Britain untuk syarikat Malaysia masih kekal bercampur, dengan potensi jangka panjang dalam segmen pejabat lestari, tetapi cabaran ketara kekal dalam segmen kediaman.
Para pelabur tambah firma penyelidikan itu, disaran supaya mengamalkan pandangan jangka panjang terhadap pendedahan syarikat Malaysia terutama di London. - DagangNews.com








