KUALA LUMPUR 7 Mei - Prospek Sunway Construction Group Bhd (SunCon) kekal kukuh meskipun berdepan persekitaran perniagaan yang tidak menentu apabila syarikat itu terus optimis terhadap sumbangan daripada projek pusat data (DC), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan itu berkata, dalam pertemuan dengan pengurusan SunCon baru-baru ini, syarikat itu tidak melihat sebarang tanda kelembapan dalam tender berkaitan pusat data selain keyakinan itu turut disokong oleh buku tender bernilai antara RM15 bilion hingga RM16 bilion.
“Malah, aktiviti semakin meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini walaupun ketidaktentuan makroekonomi berterusan,” katanya dalam nota kajian.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “beli” terhadap saham tersebut dengan harga sasaran tidak berubah pada RM9.10 sesaham.
Menurutnya, penilaian itu disokong oleh kedudukan syarikat dalam tema pusat data, keupayaan pelaksanaan yang kukuh dengan penghantaran margin yang mantap, serta pulangan atas ekuiti yang tinggi bersama hasil dividen menarik sekitar 4.5%.
SunCon memaklumkan ia baru-baru ini memperoleh beberapa projek kecil bernilai keseluruhan RM400 juta, menjadikan jumlah kontrak baharu setakat tahun ini kepada RM3.4 bilion dan buku tempahan tertunggak kepada RM9.1 bilion atau 1.7 kali tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25).
Firma penyelidikan itu melihat potensi peningkatan nilai kontrak bagi projek yang baru diperoleh, susulan kelebihan sebagai kontraktor sedia ada dan kefahaman terhadap keadaan tapak projek.
Perkembangan itu menyusuli penukaran kontrak pusat data baharu bernilai RM1.7 bilion daripada sebuah syarikat multinasional (MNC) berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Dalam jangka masa terdekat, kami menjangkakan penukaran kontrak dengan tahap kepastian tinggi akan dipacu pelanggan berulang melalui pembangunan berperingkat kampus pusat data sedia ada serta pakej mekanikal, elektrikal dan perpaipan untuk projek pusat data yang sedang berjalan,” katanya.
HLIB menganggarkan peluang tersebut bernilai RM4 bilion, sekali gus menyokong unjuran kontrak baharu FY26 SunCon sebanyak RM8 bilion berbanding sasaran syarikat sebanyak RM6 bilion.
Sementara itu, saluran projek bernilai RM1 bilion daripada syarikat induk Sunway Bhd dijangka dipacu projek pengangkutan dan peluasan hospital.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan margin SunCon kekal tinggi pada FY26 memandangkan sebahagian buku tempahan syarikat dirunding secara lump-sum dan kebanyakannya melibatkan projek lama yang kini berada di peringkat lanjutan.
“Kami percaya risiko penurunan margin masih terkawal kerana kemajuan pantas projek pusat data berpotensi menjana penjimatan kos, selain mekanisme variation-of-price akibat faktor luar membolehkan pelarasan harga dibuat, dengan pelanggan MNC lazimnya terbuka kepada rundingan,” katanya.
Tambahnya, margin bagi separuh pertama FY26 dijangka terus kukuh disokong beberapa projek yang hampir mencapai penutupan akaun, selain potensi peningkatan daripada penilaian semula margin apabila peruntukan berhati-hati lazimnya dikekalkan sebelum penyerahan projek.
Berhubung projek lebuh raya SunCon di India, pengurusan sedang meneroka usaha pengewangan RM400 juta dalam bentuk penghutang di bawah model anuiti hibrid.
“Jika berjaya dan hasil tersebut diagihkan kepada pemegang saham, ia boleh memberi peningkatan kepada unjuran dividen FY26 kami sebanyak 31 sen sesaham berdasarkan kadar pembayaran 100%.
“Dalam senario pengagihan penuh, kami menganggarkan potensi dividen khas sebanyak 30 sen sesaham, yang membayangkan hasil keseluruhan sekitar 9% pada harga saham semasa,” katanya. - DagangNews.com








