Prospek Scientex dikhuatiri terjejas disebabkan kenaikan harga bahan mentah - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Scientex dikhuatiri terjejas disebabkan kenaikan harga bahan mentah - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Jun — Prospek pertumbuhan Scientex Berhad dikhuatiri terjejas dalam jangka panjang disebabkan situasi kenaikan drastik harga bahan mentah untuk perniagaannya, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, kelemahan itu dikenal pasti antara risiko peningkatan utama setelah ia mencatatkan keuntungan bersih RM123.9 juta bagi suku ketiga berakhir pada 30 April 2025.


Keadaan berkenaan tambahnya dapat dilihat berdasarkan sumbangan kukuh daripada pendekatan operasi kumpulan itu yang memberikan fokus lebih kepada perniagaan pembungkusannya pada tempoh tersebut.


"Selain itu, Scientex dibimbangi mengalami peningkatan besar risiko perubahan tidak menggalakkan untuk permintaan menerusi produk pembungkusan fleksibel," kata RHB Research dalam nota kajiannya.


Pihak pengurusan kumpulan berkenaan kata firma tersebut, percaya suasana pasaran pembungkusan akan kekal sebagai amat mencabar dalam tempoh terdekat, terutamanya untuk segmen kecil perindustrian.


Bagaimanapun tambahnya, lantunan semula dijangkakan berlaku pada tahun depan susulan ramalan situasi positif diimbangi oleh trend permintaan yang kembali untuk aktiviti pembungkusan pengguna.


Secara umum kata RHB Research, segmen kecil itu memberi kesan besar kerana ia membentuk antara 45 hingga 50 peratus daripada kesleuruhan jumlah hasil pembungkusan dikeluarkan Scientex selama ini.


"Mengenai perniagaan hartanah, kami optimis bahawa Scientex berada di landasan betul untuk mencapai sasaran nilai pelancaran hartanahnya lebih daripada RM2 bilion pada tahun kewangan 2025," katanya.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut terus menjangkakan segmen hartanah kumpulan berkenaan terus berpotensi besar untuk menjadi penyumbang pendapatan utama pada tempoh suku-suku akan datang.


Ia namun mengurangkan hasil pada FY25 hingga FY27 masing-masing sebanyak 2%, 6% dan 6% selepas mengandaikan kos lebih tinggi untuk segmen pembungkusan industri, memandangkan persaingan sengit.


Berdasarkan unjuran tersebut, RHB Research masih lagi mengekalkan saranan "neutral" ke atas saham Scientex dan harga sasaran turun kepada RM3.50 berbanding RM3.70 sebelum ini. - DagangNews.com